LANGKAWI: Malaysia sedang menyemak semula secara aktif beberapa perjanjian antarabangsa berkaitan sektor angkasa untuk meningkatkan lagi industri angkasa negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata langkah itu dibuat berikutan pandangan positif Malaysia terhadap kerjasama dengan negara-negara lain dalam rantau ini bagi mengambil peluang ke atas pelbagai peluang sosioekonomi dengan kelebihan daya saing kos dalam capaian angkasa.

"Sebagai contoh, perkhidmatan pengeluaran angkasa untuk bahan pembangunan dan penyelidikan, farmaseutikal dan bioteknologi, gentian optik dan pembuatan semikonduktor boleh mendapat manfaat daripada keadaan dan keupayaan unik teknologi angkasa bagi meningkatkan proses pembuatan, membangunkan bahan 'novel' dan keupayaan teknologi maju.

Saya mengalu-alukan setiap negara di rantau ini untuk bersama-sama menyumbang mengikut kekuatan dan kepakaran masing-masing dengan sasaran untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai sebuah rantau angkasa yang maju setanding dengan sektor angkasa yang lebih maju di Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sebelum melancarkan Pelan Strategik Industri Angkasa Malaysia 2030 (SISP 2030) dan Forum Angkasa Antarabangsa Langkawi bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA'23) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini hari ini.

Sementara itu, Fadillah berkata SISP 2030 akan menjadi panduan kepada pembangunan industri angkasa Malaysia sambil memupuk daya maju dan saing seiring dengan Dasar Angkasa Negara.

"Pelan menyeluruh ini akan membantu industri angkasa Malaysia dalam mengenal pasti bidang-bidang keutamaan, pembangunan dan penyelidikan, pengkomersialan dan aktiviti inovasi dalam mewujudkan sebuah ekosistem industri angkasa yang lestari dan meliputi keseluruhan rantaian nilai.

Industri Angkasa Malaysia sedang mengalami pertumbuhan pesat dan dengan lebih 60 syarikat berkaitan angkasa menjana jumlah pendapatan RM1.36 bilion dalam 2021, sektor ini telah menyaksikan kemajuan luar biasa dan mempunyai potensi ketara untuk menyumbang lagi kepada ekosistem angkasa yang strategik kepada negara," kata Fadillah.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata Malaysia berdiri teguh menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan agenda Angkasa2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) yang menggunakan teknologi angkasa untuk mencapai SDG sambil menangani cabaran masyarakat seterusnya meningkat pembangunan dan kesejahteraan insan.

"Malaysia juga mendukung prinsip bahawa angkasa lepas, termasuk bulan dan lain-lain jasad cakerawala merupakan warisan bersama manusia. Oleh itu Malaysia menyokong penggunaan secara aman angkasa lepas untuk kebaikan semua negara tanpa mengira pembangunan ekonomi dan saintifik mereka, " katanya.

-- BERNAMA