PUTRAJAYA: Malaysia dan Sepanyol menyatakan komitmen untuk terus meneroka peluang pasaran baharu bagi produk pertanian tempatan demi meningkatkan imbangan perdagangan dua hala yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Perkara itu dizahirkan sewaktu kunjungan hormat ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu oleh Duta Besar Sepanyol ke Malaysia Jose Luis Pardo Cuerdo di sini, semalam.
Advertisement
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan fokus utama perbincangan merangkumi kerjasama strategik dalam pembangunan kapasiti, pertukaran teknologi dan kerjasama dalam bidang akuakultur serta pengurusan saliran pertanian.
"Menteri turut menyampaikan jemputan kepada Sepanyol untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang," menurut KPKM.
Setakat Disember 2025, rekod perdagangan pertanian antara Malaysia dan Sepanyol mencatatkan nilai RM2.73 bilion merangkumi eksport produk pertanian Malaysia seperti kopi, koko, teh dan rempah-ratus.
-- BERNAMA