PUTRAJAYA: Malaysia menyokong gesaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres supaya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menangani segera situasi meruncing di Gaza dan segera mengisytiharkan gencatan senjata kemanusiaan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri pada Jumaat, Malaysia memuji usaha Setiausaha Agung itu yang mahu membawa perkara itu kepada perhatian Majlis Keselamatan, selaras dengan mandat beliau mengikut Artikel 99 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memandangkan kekejaman berterusan yang berlaku di Gaza jelas menjadi ancaman terhadap usaha mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

"Gesaan oleh Setiausaha Agung Antonio Guterres menunjukkan betapa seriusnya situasi di Gaza. Serangan tanpa belas kasihan, pertumpahan darah dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan terhadap orang awam yang tidak bersalah, terutama kanak-kanak di Gaza mesti dihentikan," menurut kenyataan itu.

Artikel 99 kali terakhir digunakan oleh Setiausaha Agung PBB pada tahun 1989.

Masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan mempunyai tanggungjawab untuk menggunakan segala usaha yang ada bagi mencegah kezaliman yang semakin meningkat dan menamatkan penderitaan rakyat dan kemusnahan di Gaza.

Kegagalan untuk bertindak secara kolektif dan pantas hanya akan menghakis kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap sistem pelbagai hala dan kredibiliti Majlis Keselamatan.

"Majlis mesti memutuskan sama ada badan itu mahu kekal lumpuh akibat polarisasi politik atau mengambil tanggungjawab moral dan beretika dengan mengutamakan perlindungan ke atas orang awam yang tidak bersalah serta menghormati dan mematuhi undang-undang antarabangsa seperti yang dimandatkan oleh Piagam PBB," menurut kenyataan itu.

Malaysia seperti mana kebanyakan negara di dunia, menyokong sepenuhnya bahawa rakyat Palestin berhak memiliki negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

-- BERNAMA