Malaysia sokong inisiatif APGF, pacu integrasi tenaga ASEAN menjelang 2045 - PM Anwar

Anwar (foto) berkata penubuhan APGF memastikan visi ASEAN untuk mewujudkan Grid Kuasa ASEAN (APG) yang bersepadu sepenuhnya menjelang 2045 dapat dicapai. -Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 menyokong penuh inisiatif Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid Financing, APGF) yang dibangunkan bersama Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia.
Ringkasan AI
- Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025 menyokong inisiatif Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN (APGF) yang dibangunkan bersama ADB dan Bank Dunia untuk mempercepat pelaburan tenaga hijau dan sambungan rentas sempadan.
- APGF bertujuan menjadikan Grid Kuasa ASEAN (APG) bersepadu sepenuhnya menjelang 2045, dengan fokus kepada daya saing kewangan, kesaksamaan dan kerjasama serantau.
- Malaysia aktif dalam Projek Integrasi Kuasa LTMS-PIP dan perluasan ke Sarawak serta Indonesia, dengan harapan penglibatan Brunei dan Filipina dalam fasa seterusnya, menjadikan ASEAN hab tenaga bersih masa depan.
“Langkah ini mencerminkan tekad bersama untuk memperkukuh hubungan tenaga serantau dan menjadikan ASEAN sebagai model kerjasama yang mampan serta adil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM-43) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Anwar turut menegaskan Malaysia telah lama menyokong projek Grid Kuasa ASEAN (APG), termasuk melalui Projek Integrasi Kuasa Laos–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS-PIP) yang merupakan perdagangan tenaga pelbagai hala pertama di rantau ini.
Projek itu, katanya, kini diperluas ke Sarawak dan seterusnya ke Indonesia, sekali gus membuka peluang kepada penglibatan Brunei dan Filipina dalam fasa seterusnya.
“ASEAN mesti bergerak sebagai satu entiti. Jika kita berjaya, kejayaan itu dikongsi bersama; jika kita lambat, salahkan Menteri Fadillah,” katanya berseloroh, merujuk kepada Menteri Tenaga Peralihan dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar berkata, grid tenaga bersepadu akan memperkukuh integrasi serantau, menarik pelaburan baharu, mewujudkan pekerjaan berkualiti, serta menjadikan ASEAN hab tenaga bersih dan teknologi masa depan.
Beliau menegaskan, kejayaan APGF dan APG bergantung kepada komitmen politik, penyelarasan peraturan, serta kerjasama awam-swasta bagi mempercepat projek sambungan tenaga merentas sempadan dan memperkukuh keselamatan tenaga rantau ini.
“Kita perlu melipatgandakan usaha mempercepat projek sambungan tenaga, menyeragamkan rangka kerja peraturan, dan memperkukuh kerjasama awam-swasta.
“Forum Perniagaan Tenaga ASEAN menjadi platform terbaik untuk menukar pelan menjadi talian kuasa, dan visi menjadi realiti,” katanya lagi.
Media melaporkan, menurut Pengarah Jeneral Pembangunan Asia Tenggara ADB, Winfried F. Wicklein ADB akan memperuntukkan sebanyak AS$10 bilion (RM47 bilion) bagi membiayai sambungan grid di Asia Tenggara yang dihubungkan ke APG, selain projek tenaga bersih lain.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami