Skip to main content

Malaysia

Polis kenal pasti individu terlibat kes penemuan dadah ketamin atas kapal tangki - KPN

Mohd Khalid berkata pihak polis sedang mengesan kedudukan individu berkenaan dan akan berusaha melakukan tangkapan secepat mungkin, sama ada hari ini atau esok. - Gambar fail/Bernama
Mohd Khalid berkata pihak polis sedang mengesan kedudukan individu berkenaan dan akan berusaha melakukan tangkapan secepat mungkin, sama ada hari ini atau esok. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Polis telah mengenal pasti beberapa individu disyaki terlibat dalam kes penemuan 1.16 tan ketamin di atas kapal tangki milik syarikat Malaysia.
  • Kapal tersebut bertolak dari Johor ke Pelabuhan Klang sebelum menuju ke Laut Andaman dan akhirnya memasuki perairan Indonesia, membolehkan siasatan pihak berkuasa negara itu.
  • Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi memastikan semua pihak terlibat diheret ke muka pengadilan.

PUTRAJAYA: Polis sudah mengenal pasti beberapa individu disyaki terbabit dalam kes penemuan 1.16 tan dadah jenis ketamin di atas kapal tangki milik sebuah syarikat di Malaysia baru-baru ini.

​Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata pihak polis sedang mengesan kedudukan individu berkenaan dan akan berusaha melakukan tangkapan secepat mungkin, sama ada hari ini atau esok.

“Individu itu sudah dikenal pasti, kami sedang cuba kesan di mana kedudukan mereka, syarikat-syarikat dan mereka yang berkaitan juga dalam pengetahuan kami,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Spectrum International University College (SIUC) ke-26 di sini hari ini.

Mohd Khalid berkata hasil siasatan mendapati kapal berkenaan bertolak dari Johor ke Pelabuhan Klang sebelum menuju ke Laut Andaman yang dipercayai menjadi lokasi berlakunya aktiviti pemindahan muatan antara kapal.

Beliau berkata tindakan kapal itu berpatah balik dan memasuki perairan Indonesia memberi peluang kepada pihak berkuasa negara berkenaan untuk menjalankan siasatan serta membuat penahanan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi memastikan semua pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

“Kami akan berusaha mengadakan kerjasama berterusan dengan pihak Indonesia bagi memastikan mereka yang terlibat diambil tindakan undang-undang untuk didakwa,” katanya.

Mohd Khalid berkata setakat ini, beliau dimaklumkan kapal berkenaan dimiliki oleh rakyat Malaysia, namun didaftarkan di Mongolia.

Beliau berkata masih banyak maklumat yang perlu diperoleh bagi membantu siasatan, termasuk isu melibatkan pemilikan kapal kerana ia membabitkan jumlah transaksi dadah yang begitu besar. 

​Terdahulu, media melaporkan kapal tangki MT Global 168 yang ditahan pihak berkuasa Indonesia bersama 1.16 tan ketamin pada Selasa lepas, disahkan milik sebuah syarikat yang berpangkalan di Johor Bahru.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement