MALAYSIA
Malaysia sokong rundingan sempadan Thailand-Kemboja 14 Jun, sedia beri kerjasama - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama kira-kira 15,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha yang dipimpin Imam Besar Masjid Putra Muhamad Zakuan Rodzali di Masjid Putra hari ini. - Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk mengikuti perkembangan rundingan sempadan antara Thailand dan Kemboja yang dijadual berlangsung pada 14 Jun ini.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk mengikuti dan menyokong rundingan sempadan antara Thailand dan Kemboja yang dijadual berlangsung pada 14 Jun, serta menawarkan kerjasama sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
- Rundingan ini susulan insiden pertempuran singkat antara tentera Thailand dan Kemboja pada 28 Mei yang menyebabkan seorang askar Kemboja terkorban, dan Kemboja bercadang membawa isu ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
- Thailand dan Kemboja komited menyelesaikan isu sempadan secara damai melalui rundingan dan perjanjian antarabangsa, dengan pertemuan akan diadakan di Phnom Penh melalui platform Suruhanjaya Sempadan Bersama.
"Saya sedia mengikuti dan beri kerjasama (yang) diperlukan. Setakat ini dua-dua kerajaan mengambil sikap untuk meneruskan rundingan secara baik," kata beliau kepada media selepas menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 15,000 jemaah di Masjid Putra, di sini hari ini.
Pada 28 Mei, pasukan tentera Thailand dan Kemboja terlibat dalam pertempuran singkat di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand dan wilayah Preah Vihear, Kemboja yang dilaporkan mengorbankan seorang askar Kemboja.
Kemboja kemudian mengumumkan hasrat untuk membawa pertikaian sempadan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Thailand turut dilapor mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan isu sempadan dengan Kemboja melalui usaha damai mengikut undang-undang antarabangsa, serta perjanjian dan memorandum yang berkaitan.
Susulan ketegangan itu, satu rundingan yang dijadualkan melalui platform Suruhanjaya Sempadan Bersama akan berlangsung pada 14 Jun di Phnom Penh.
Usaha itu dijangka menjadi langkah penting ke arah penyelesaian damai jangka panjang antara dua negara jiran ASEAN tersebut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami