GADGETS
Malaysia Techlympics 2025 sasar 1.7 juta peserta, program jangkauan tarik minat sekolah luar bandar

Ruziah (empat dari kiri) bersama pelajar ketika program outreach di Pulau Sibu, Mersing, Johor, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Penganjuran Malaysia Techlympics 2025 menyasarkan 1.7 juta penyertaan pelajar dan belia dari seluruh negara dalam usaha memperkasa penglibatan golongan muda dalam bidang Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).
Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd itu kini memasuki tahun keempat pelaksanaannya dan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar seluruh negara.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Ruziah Shafei, lebih 1.4 juta penyertaan telah direkodkan setakat ini, dan jumlah itu dijangka terus meningkat dengan pelaksanaan pertandingan di peringkat zon dan negeri yang sedang berlangsung.
“Sasaran 1.7 juta peserta ini merupakan komitmen MOSTI untuk melahirkan generasi celik teknologi yang bukan sekadar menggunakan, tetapi turut mampu mencipta teknologi. Program ini terbuka kepada peserta berusia 7 hingga 30 tahun melalui pelbagai kategori pertandingan,” kata Ruziah.Dalam memastikan penyertaan yang inklusif, Malaysia Techlympics turut memperkenalkan Program Jangkauan Keterangkuman (Outreach) yang memberi fokus kepada pelajar dan guru di kawasan luar bandar, termasuk pedalaman di Sabah, Sarawak serta pulau-pulau di Semenanjung Malaysia.
Melalui program ini, pelajar didedahkan kepada bengkel teknologi dan aktiviti kesedaran dalam bidang-bidang seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), robotik, dron dan pengekodan, sekaligus membuka ruang pendedahan awal terhadap teknologi masa depan.
“Techlympics diinspirasikan daripada semangat sukan olimpik, tetapi khusus dalam teknologi. Saringan bermula dari peringkat sekolah dan zon, sebelum peserta layak ke peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung pada bulan November. Pemenang berpotensi mewakili negara ke pertandingan antarabangsa seperti di China dan Korea Selatan,” tambah Ruziah.
Salah satu bukti keberkesanan program ini dapat dilihat melalui kejayaan Yuvenraj Ganesan, 25, pemenang tempat ketiga Malaysia Techlympics 2023 bagi kategori belia - Inovasi Kreatif untuk Kesejahteraan Rakyat.
Graduan Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu mencipta Step Flex, sejenis insole bercetak 3D khas untuk pesakit flat feet dan bunion, bersama rakannya Vishnu. Inovasi mereka bukan sahaja menawarkan keselesaan, malah boleh dicetak sendiri dengan kos rendah.
“Saya sendiri ada masalah tapak kaki rata dan bunion. Ciptaan ini lahir daripada keperluan peribadi. Saya mahu lebih ramai orang dapat akses kepada insole yang berkualiti dan mampu milik,” kata Yuvenraj.
Kini, beliau mengusahakan syarikat pemula dalam bidang 3D printing, prototyping dan kitar semula filament, selain sedang membangunkan platform digital yang membolehkan orang ramai memuat turun rekaan ciptaannya secara percuma.
“Malaysia Techlympics ubah hidup saya. Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi platform sebenar untuk membina masa depan dalam bidang inovasi. Saya galakkan pelajar dan belia lain turut serta – banyak ilmu dan peluang yang boleh diperoleh,” ujarnya.
Malaysia Techlympics terus dilihat sebagai platform strategik dalam membina generasi inovatif, selari dengan hasrat negara melahirkan lebih ramai pencipta teknologi tempatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami