Kerajaan Malaysia akan terus berpegang kepada pendirian anti-Israel, biarpun menerima tekanan dari badan-badan antarabangsa, tegas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, pada Malaysia, Israel merupakan penjenayah di peringkat antarabangsa dan Malaysia mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka.

“Kita berdiri teguh dengan prinsip kita, iaitu Israel merupakan penjenayah yang melanggar undang-undang antarabangsa tanpa orang berani kata apa-apa. Jadi sudah menjadi hak kita untuk menyuarakan polisi kita.

“Amerika sendiri tak benarkan orang dari lima negara Islam pergi ke US. Kenapa orang tak bersuara? Banyak negara Eropah tak bagi orang Islam datang. Tetapi kita ada sebab. Mereka (atlet Israel) bukan orang susah, mereka datang dari negara yang melanggar peraturan antarabangsa,” katanya lagi.

BACA: Didakwa negara diskriminasi, IPC lucut hak penganjuran Malaysia

BACA: Tiada kompromi, Malaysia tetap halang kemasukan atlet Israel

Terdahulu, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) memutuskan untuk melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang bakal dianjurkan di Kuching, Sarawak 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Presiden IPC, Andrew Parsons berkata perkara tersebut diputusan jawatankuasa itu semasa bermesyuarat di London.