Skip to main content

Malaysia

Malaysia tekankan autonomi strategik hadapi cabaran geopolitik global

https://www.facebook.com/photo?fbid=1470742584432052&set=pcb.1470757631097214
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang kini mengadakan lawatan kerja rasmi selama dua hari ke Tokyo bermula semalam dan menghadiri persidangan berkenaan. - Foto Facebook Zambry Abd Kadir

PUTRAJAYA: Malaysia menekankan kepentingan autonomi strategik dan pembaharuan multilateralisme dalam menghadapi cabaran geopolitik global yang semakin kompleks pada Persidangan Tokyo 2026 di Jepun.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang kini mengadakan lawatan kerja rasmi selama dua hari ke Tokyo bermula semalam dan menghadiri persidangan berkenaan.

Advertisement

Menurut KPT, Zambry telah menyertai sesi meja bulat pemimpin Asia yang membincangkan topik Asian Leaders Roundtable: Asia’s Option in an ‘Age of Power’ - How to defend and rebuild the rules - based multilateral order.

Zambry dalam ucapannya menegaskan Asia perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mempertahankan dan memperbaharui sistem kerjasama pelbagai hala (multilateralisme) yang semakin teruji dalam landskap geopolitik global.

“Dunia kini berada dalam era yang sering digambarkan sebagai “Age of Power” dan persaingan geopolitik, tekanan ekonomi serta penggunaan teknologi sebagai alat pengaruh semakin ketara. 

“Asia melihat keadaan ini sebagai satu defisit kepercayaan terhadap sistem antarabangsa, khususnya apabila undang-undang dan peraturan global dilihat tidak diterapkan secara konsisten,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Malaysia menegaskan kepentingan autonomi strategik melalui pendekatan non-alignment aktif, di samping mempertahankan prinsip kedaulatan negara, undang-undang antarabangsa serta multilateralisme yang adil dan inklusif.

“Beliau turut menegaskan Asia mempunyai kekuatan ekonomi, demografi dan pengaruh diplomatik yang besar untuk membantu membentuk sistem antarabangsa yang lebih seimbang.

“Multilateralisme masa hadapan mesti lebih inklusif serta mencerminkan suara dan aspirasi majoriti negara di dunia,” katanya.

Selain itu, Zambry menegaskan kerjasama strategik antara negara-negara Asia perlu terus diperkukuh, dengan sektor pendidikan tinggi memainkan peranan penting sebagai pemangkin hubungan antarabangsa melalui pertukaran ilmu, mobiliti pelajar dan penyelidikan bersama.

“Institusi pendidikan tinggi berpotensi menjadi jambatan yang menghubungkan negara-negara serantau dalam membangunkan bakat, memperkukuh diplomasi ilmu serta menyokong pembentukan sistem global yang lebih seimbang, inklusif dan berteraskan kerjasama,” katanya. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video