MALAYSIA
Pulau Pinang tidak sekat penceramah agama selagi patuh garis panduan

MOHAMAD: Di bawah enakmen itu, mana-mana penceramah yang ingin menyampaikan kuliah atau ceramah di masjid dan surau perlu mendapatkan tauliah sah daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). - Gambar fail/BERNAMA
BUTTERWORTH: Pulau Pinang tidak pernah menyekat mana-mana penceramah untuk menyampaikan ceramah agama selagi mereka mematuhi garis panduan dan undang-undang ditetapkan pihak berkuasa agama negeri berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata Pulau Pinang antara negeri paling mudah untuk mendapatkan tauliah, termasuk memberi kelonggaran kepada penceramah berpengalaman tanpa perlu melalui ujian atau temu duga yang ketat.
Justeru, beliau berkata isu berkaitan dakwaan penceramah dihalang daripada menyampaikan kuliah di Masjid Semilang baru-baru ini tidak sepatutnya timbul sekiranya mereka akur terhadap peraturan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004.
"Di bawah enakmen itu, mana-mana penceramah yang ingin menyampaikan kuliah atau ceramah di masjid dan surau perlu mendapatkan tauliah sah daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP)."Senarai (penceramah) telah diberikan tauliah ada lebih 1,000 orang dan yang tiada cuma beberapa orang," katanya pada Majlis Anugerah Amil Fitrah (MAFIT) Tahun 2025 Zakat MAINPP di Dewan Wisma Al-Ansar Masjid Al Muhajirin Seberang Jaya di sini hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 26 amil dipilih menerima penghargaan sebagai menghargai komitmen ditunjukkan dalam menggalas tanggungjawab diamanahkan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata polisi berkaitan peraturan pelantikan tauliah juga telah dipinda oleh MAINPP pada tahun lepas bagi memudahkan individu yang layak memohon mendapatkan tauliah mengajar.
Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata bagi individu yang hanya menyampaikan ceramah secara berkala pula, permohonan kebenaran khas perlu dibuat oleh jawatankuasa masjid atau surau yang menganjurkan program kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dengan mengisi melalui Borang 3.
Beliau mengulas mengenai isu program wacana ilmu bersama penceramah bebas yang dijadualkan di Masjid Sembilang di sini pada malam Ahad lepas, dibatalkan pada saat akhir kerana isu tauliah.
Penceramah itu menerusi hantaran di Facebooknya mendakwa penganjur memaklumkan program itu dibatalkan kerana dihalang oleh Pejabat Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.
Mohamad yang menafikan dakwaan mengatakan pejabatnya mengeluarkan arahan menghalang program ceramah itu berkata individu berkenaan tidak memiliki tauliah dan gagal mengemukakan permohonan kebenaran khas seperti dikehendaki.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami