NATIONAL
Malaysia terap teknologi AI dalam pengurusan jalan raya

Nanta (lapan, kiri) membuat perbentangan bertajuk 'Malaysia's Future-Ready, Hyper-Connected Cities: Policies, Progress and the Path Ahead' pada Forum Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Asia Pasifik 2025 di Suwon.
KUALA LUMPUR: Malaysia memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan jalan raya bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan serta keberkesanan penyelenggaraan kemudahan itu dan infrastruktur.
Ringkasan AI
- Malaysia menggunakan teknologi AI, dron, sensor dan IoT untuk mengesan kerosakan jalan raya secara masa nyata dan merancang penyelenggaraan lebih cekap serta selamat.
- Kementerian Kerja Raya sedang merangka Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030 dengan lima teras utama termasuk mobiliti pintar, pengangkutan hijau, digitalisasi perkhidmatan awam dan keselamatan pengangkutan.
- Inisiatif seperti kenderaan autonomi, kenderaan elektrik, sistem tol MLFF dan Pusat Pengurusan Trafik Pintar Kebangsaan mencerminkan komitmen Malaysia ke arah bandar hiperhubung dan mampan.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan bertajuk 'Malaysia's Future-Ready, Hyper-Connected Cities: Policies, Progress and the Path Ahead' pada Forum Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Asia Pasifik 2025 di Suwon, Korea Selatan hari ini.
Nanta turut berkongsi hala tuju strategik kementeriannya menerusi penyediaan Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030, yang digerakkan dengan visi membina mobiliti negara yang lebih selamat dan mampan.
"ITS kini satu keperluan asas dalam membina bandar masa depan yang berdaya tahan, cekap dan mampan. Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030 yang sedang dirangka ini akan menjadi panduan utama kita dalam mentransformasikan landskap ITS negara," katanya.
Beliau berkata terdapat lima teras utama kepada pelaksanaan pelan berkenaan iaitu pengangkutan hiperhubung melalui mobiliti pintar tanpa gangguan, laluan ke arah mobiliti hijau dan lestari, perkhidmatan awam diperkukuh melalui pendigitalan pengangkutan, ekosistem pengangkutan yang selamat dan terjamin serta pemanfaatan data untuk perancangan mobiliti dan pengangkutan.
"Semua perancangan ini akan diterjemahkan kepada tindakan. Malaysia akan terus berinovasi, melabur dan bekerjasama untuk membina sebuah negara yang hiperhubung," katanya.
Nanta berkata banyak revolusi yang menarik sedang berlaku dalam landskap ITS di Malaysia termasuk kemajuan kenderaan autonomi (AV), penggunaan kenderaan elektrik dalam sistem pengangkutan awam, pengenalan sistem aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) dan penubuhan Pusat Pengurusan Trafik Pintar Kebangsaan (NITMC).
"Inisiatif transformasi ini mencerminkan komitmen teguh Malaysia untuk membina ekosistem pengangkutan yang lebih selamat, cekap dan lestari, selaras dengan visi lebih besar kita ke arah bandar hiperhubung," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami