Kawalan eksport nadir bumi China selaras dengan amalan antarabangsa

Greer (kanan) mendakwa pegawai China mengeluarkan kenyataan bercanggah mengenai sekatan eksport nadir bumi yang terbaharu, bagaimanapun, menurut Lin (kiri) langkah kawalan eksport diambil bagi memenuhi obligasi antarabangsa.
BEIJING: China melaksanakan kawalan eksport ke atas nadir bumi dan barangan berkaitan mengikut undang-undang, sejajar dengan amalan antarabangsa, kata jurucakap Kementerian Luar Lin Jian, pada Rabu, lapor Xinhua.
Lin mengulas kenyataan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AS) Jamieson Greer, yang berkata sama ada tarif tambahan 100 peratus ke atas barangan China akan berkuat kuasa pada 1 Nov atau lebih awal bergantung kepada tindakan China.
Greer juga mendakwa pegawai China mengeluarkan kenyataan bercanggah mengenai sekatan eksport nadir bumi yang terbaharu.
Menurut Lin pihak berkuasa yang berkenaan menjelaskan pendirian China berhubung langkah kawalan eksport terhadap nadir bumi dan barangan berkaitan.Beliau menyatakan yang langkah itu diambil bagi menjaga keamanan dunia, kestabilan serantau dan memenuhi obligasi antarabangsa termasuk kawalan penyebaran senjata.
"Pendirian China adalah konsisten dan jelas," kata Lin, sambil berkata bahawa Amerika Syarikat yang meminta perbincangan, namun dalam masa sama mengugut dengan tarif tinggi dan sekatan baharu, satu pendekatan yang tidak wajar dalam menangani hubungan dengan China.
China menggesa AS agar membetulkan pendekatan yang salah itu secepat mungkin dan menyelesaikan isu berkaitan melalui dialog serta perundingan berdasarkan prinsip kesaksamaan, saling menghormati dan manfaat bersama, katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami