MALAYSIA
Malaysia terima geran AS$10 juta laksana pelan Kigali, kukuh komitmen alam sekitar

Huang berkata dana itu akan menyokong pelaksanaan projek penukaran teknologi kepada penggunaan bahan penyejuk mesra alam oleh tiga syarikat tempatan, selain bantuan kepada sektor perkhidmatan dan penyelenggaraan. - Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju membenarkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menandatangani Perjanjian Geran Pelan Pelaksanaan Kigali Malaysia Peringkat 1 bersama Bank Dunia, bagi membolehkan Malaysia menerima dana berjumlah AS$10.19 juta daripada Multilateral Fund.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata dana itu, akan menyokong pelaksanaan projek penukaran teknologi kepada penggunaan bahan penyejuk mesra alam oleh tiga syarikat tempatan, selain bantuan kepada sektor perkhidmatan dan penyelenggaraan, pembangunan kapasiti serta penguatkuasaan.
"Langkah ini sekali gus memperkukuh komitmen negara dalam pelaksanaan Protokol Montreal," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sambutan Hari Ozon Sedunia 2025 Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.
Huang berkata pelaksanaan komitmen tersebut akan berdepan pelbagai cabaran, namun kerajaan kekal komited untuk menerima teknologi baharu serta melaksanakan strategi yang berkesan, dalam memperkukuh kemahiran dan meningkatkan kesedaran awam demi memastikan matlamat pemeliharaan alam sekitar tercapai.Beliau yakin Malaysia mampu mengatasi cabaran berkenaan berdasarkan rekod pencapaian sedia ada menerusi Pelan Pengurusan Penghapusan Hidroklorofluorokarbon (HCFC) yang sedang berjalan, di samping Pelan Pelaksanaan Kigali Malaysia dan strategi lain yang dirangka bagi memastikan negara kekal di landasan betul ke arah kelestarian alam sekitar.
Sambutan Hari Ozon Sedunia tahun ini yang bertemakan From Science to Global Action menekankan kepentingan sains dan bukti saintifik di bawah Konvensyen Vienna, Protokol Montreal serta Pindaan Kigali sebagai pemangkin kepada kerjasama global dalam memulihkan lapisan ozon serta menangani cabaran perubahan iklim.
Pada majlis itu, Huang turut menyampaikan sijil pengiktirafan kepada tujuh Pusat Pemerolehan Semula Refrigeran di Malaysia, yang merupakan langkah penting memperkukuh pelaksanaan Pengurusan Kitar Hayat Refrigeran (LRM) secara lestari, yang mampu mencegah pelepasan bahan terkawal di bawah Protokol Montreal, memanjangkan jangka hayat bahan penyejuk sedia ada serta menyokong pembangunan ekonomi kitaran.
Pendekatan LRM bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan bahan pemusnah ozon dan gas rumah kaca, malah menjimatkan kos industri dengan mengurangkan kebergantungan kepada bahan baharu, serta mewujudkan peluang pekerjaan hijau dalam bidang penyelenggaraan dan pemulihan bahan penyejuk.
Sambutan yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini di pusat beli-belah Alamanda di sini, turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif seperti pertandingan mewarna, sesi pocket talk, kuiz alam sekitar, demonstrasi oleh Petrosains, serta reruai pameran oleh rakan strategik daripada industri dan pertubuhan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata sambutan Hari Ozon Sedunia 2025 bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan melindungi lapisan ozon dan mengurangkan pemanasan global.
Beliau berkata sambutan itu juga mengukuhkan kerjasama antara kerajaan, industri dan komuniti dalam melaksanakan Protokol Montreal, selaras dengan komitmen Malaysia terhadap kelestarian alam sekitar.
"Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus memastikan semua polisi, dasar, pelan dan strategi dalam penghapusan HCFC dan pengurangan hidrofluorokarbon (HFC) dapat dilaksanakan dengan penglibatan serta kerjasama semua pihak berkepentingan.
"Selain itu, kami juga akan sentiasa mengkaji semula perundangan sedia ada supaya selaras dengan perkembangan teknologi terkini dalam sektor penggunaan bahan penyejuk," katanya.
Wan Abdul Latiff berkata, peningkatan penguatkuasaan terhadap kawalan bahan penyejuk juga penting bagi memastikan Malaysia sentiasa mematuhi semua obligasi di bawah Protokol Montreal.
Protokol Montreal yang dimeterai pada tahun 1987 merupakan perjanjian alam sekitar antarabangsa bagi melindungi lapisan ozon dengan mengawal pengeluaran dan penggunaan bahan pemusnah ozon seperti CFC dan HCFC.
Malaysia adalah antara negara pihak kepada Protokol tersebut sejak 1989, dan komitmen berterusan ini menjadikan negara antara yang aktif dalam menyokong usaha global memulihara lapisan ozon dan mengekang perubahan iklim.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami