IPOH: Polis berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan gangguan seksual di dalam sebuah pasar raya di Gerik, yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya akan memohon perintah reman pada hari ini bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek berumur 55 tahun itu.
Advertisement
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu, Abdul Samad dalam kenyataan berkata, kira-kira jam 5.57 petang semalam, pihaknya telah menerima laporan berkenaan kes gangguan seksual di tempat awam di sebuah pasar raya dalam daerah Gerik.
Katanya, hasil siasatan mendapati kira-kira jam 3.33 petang hari yang sama, pengadu, seorang wanita berumur 25 tahun yang sedang bekerja di pasar raya berkenaan, telah terdengar bunyi seperti zip sedang dibuka.
Menurutnya, pengadu pergi melihat dan mendapati suspek sedang melakukan gangguan seksual dengan memegang kemaluannya sambil memandang ke arah pengadu.
Pengadu kemudian mengambil tindakan dengan merakam perbuatan tersebut menggunakan telefon bimbit serta memarahi suspek.
Selepas itu, kata Abdul Samad, suspek terus keluar dari pasar raya tersebut.
Semalam, tular satu rakaman video memaparkan seorang wanita bertindak berani merakam perbuatan tidak senonoh seorang lelaki yang melakukan gangguan seksual di sebuah premis perniagaan di Gerik.
Video berdurasi dua minit 30 saat itu menunjukkan lelaki berkenaan dimarahi dua wanita kerana melakukan perbuatan tidak senonoh.