KUALA LUMPUR: Global Sumud Flotilla (GSF) kini melangkah ke fasa baharu yang lebih intensif apabila kapal-kapal dari Barcelona dan seluruh Itali berhimpun di Siracusa hari ini sekali gus membentuk sebuah armada yang lebih besar sebagai persiapan meneruskan pelayaran ke Gaza.
Kenyataan GSF memaklumkan bahawa dengan penglibatan 25 bot tambahan di Itali, armada itu kini melebihi saiz keseluruhan misi tahun lepas sekali gus menunjukkan peningkatan penyertaan antarabangsa dan tekanan awam yang semakin hebat bagi mencabar sekatan haram Israel ke atas Gaza.
Advertisement
“Dengan dua lagi pelabuhan yang bakal disinggahi, misi ini terus berkembang dari segi skala, penyelarasan dan keterlihatan global.
“Perhimpunan di Siracusa bukan sekadar pencapaian dari sudut logistik malah membawa mesej politik yang jelas, iaitu armada ini tidak statik sebaliknya terus berkembang, menyesuaikan diri dan bergerak maju,” menurut kenyataan itu.
Menurut GSF, penambahan kapal-kapal baharu dari Itali mengangkat misi ini sebagai kehadiran awam di laut yang lebih kuat dan berpengaruh sekali gus mencerminkan penolakan antarabangsa yang kian memuncak terhadap sekatan, kebuluran serta hukuman kolektif sebagai sesuatu yang dianggap normal.
Kumpulan itu turut menyatakan bahawa setiap pelabuhan baharu bukan sahaja menguatkan armada dari segi jumlah malah dari segi politik dengan meluaskan jangkauan, memperkukuh kerjasama dan memperhebat seruan global terhadap akauntabiliti.
-- BERNAMA