KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan Malaysia memperoleh pelaburan sebanyak RM5.2 bilion dalam sektor ekonomi digital dari China dan Singapura.

Dalam hantaran di media sosial malam tadi, beliau memaklumkan daripada jumlah itu pelaburan RM3 bilion diraih dari China manakala RM2.2 bilion diperoleh dari Singapura.

"Saya ingin mengumumkan berita baik. Malaysia telah raih komitmen pelaburan sebanyak RM5.2 bilion dari China dan Singapura," katanya

Fahmi berkata, untuk perbandingan, pelaburan dalam sektor ekonomi digital yang dibawa masuk oleh kementerian itu pada setengah tahun pertama 2022 adalah RM7.5 bilion manakala pada setengah tahun pertama 2023 adalah RM28.4 bilion.

"Ini bermakna, ada kenaikan sebanyak 279 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Insya-Allah Malaysia di landasan yang tepat!," katanya. - BERNAMA