BANGKOK: Skuad sepak takraw lelaki kebangsaan terkandas di separuh akhir acara antara regu Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-35, 2022 selepas tewas kepada pasukan tuan rumah 2-0 di Fashion Island Sports World di sini, hari ini.

Pada set pertama, skuad kebangsaan dibarisi Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Amirul Zazwan Amir yang ketinggalan 1-9 pada satu ketika berjaya bangkit memberi tentangan hebat sehingga merapatkan jurang 16-17.

Namun, Thailand ternyata berada pada kelas tersendiri apabila menoktahkan kemenangan 21-18 sebelum turun lebih garang di set kedua yang menyaksikan mereka mudah menundukkan skuad kebangsaan 21-10.

Jurulatih kebangsaan Mohd Rashidi Nordin berkata skuad kendaliannya terpaksa melalui saat sukar dalam misi ke final berikutan tewas kepada Korea Selatan dalam peringkat kumpulan.

"Walaupun regu negara bangkit dan memberi saingan yang sengit tetapi pasukan tuan rumah terus mara dan mencatatkan kemenangan," katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, regu negara tewas mengejut kepada Korea Selatan sekali gus menamatkan saingan Kumpulan B sebagai naib juara dan terpaksa berdepan Thailand selaku juara Kumpulan A.

Thailand akan membuat perhitungan bersama Korea Selatan di pentas final bagi penentuan juara antara regu, esok.

Dalam pada itu, skuad kebangsaan akan memulakan cabaran dalam saingan berpasukan lelaki Khamis ini dengan bertemu Indonesia diikuti aksi menentang Brunei (Jumaat) dan Korea Selatan pada Sabtu.

Mohd Rashidi berkata pasukan mempunyai peluang yang cerah di peringkat kumpulan untuk mara ke peringkat kalah mati.

"Kita memiliki kelebihan dalam berpasukan lelaki. Kita perlu susun strategi untuk mencatat kemenangan," katanya.

Sementara itu, Mohd Rashidi berkata dalam saingan beregu berpasukan, Malaysia yang akan bertemu pasukan Nepal esok berpeluang mara ke peringkat separuh akhir.

-- BERNAMA