Malaysia tetapkan standard tinggi sebagai Pengerusi ASEAN - Fadillah

Fadillah menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Kebangsaan, Kongres Perancangan Kebangsaan dan MyCity Expo hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia telah menetapkan standard yang tinggi dalam mempengerusikan ASEAN sepanjang tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ringkasan AI
- Malaysia dipuji sebagai pengerusi ASEAN yang cemerlang, dengan pencapaian tinggi yang menjadi penanda aras baharu kepada negara anggota lain, termasuk Filipina yang akan mengambil alih kepengerusian tahun depan.
- Malaysia berjaya memperkukuh keamanan serantau, termasuk menjadi pengantara antara Kemboja dan Thailand serta menerima Timor-Leste sebagai rakan baharu ASEAN.
- Fadillah Yusof tekankan kepentingan perancangan bandar dan luar bandar, agar pembangunan seimbang dapat dicapai demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan, Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) dan MyCity Expo 2025 di sini hari ini.
Fadillah berkata Malaysia kini menjadi penanda aras baharu kepada negara anggota ASEAN, termasuk pengerusi blok serantau itu untuk tahun depan iaitu Filipina yang mengakui tahap pencapaian Malaysia sukar ditandingi.
"Filipina agak gusar sebab kita dah letakkan standard ini terlalu tinggi. Mereka mengatakan bagaimana mereka nak mencapai setiap tahap yang telah Malaysia corakkan," katanya.
Beliau berkata Malaysia bukan sahaja berjaya memperkukuh hubungan dan keamanan serantau melalui memorandum persefahaman (MoU) serta komitmen yang dimeterai, malah memainkan peranan sebagai pengantara bagi keamanan antara Kemboja dan Thailand, di samping mencipta sejarah apabila Timor-Leste diterima sebagai rakan baharu dalam keluarga ASEAN.
Dalam pada itu, Fadillah menekankan bahawa kejayaan berkenaan perlu selari dengan usaha negara dalam memperkukuh perancangan pembangunan bandar dan luar bandar.
"Kita kena beri komitmen bagaimana kita nak mengubah negara kita, bandar kita...tak kira bandar besar atau kecil, untuk memastikan cabaran penghijrahan ke bandar dapat diimbangi. Kita mahu luar bandar juga diterjemahkan sebagai bandar yang boleh dihuni dan bersaing," katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa keseimbangan pembangunan sosial, ekonomi dan kelestarian alam sekitar amat penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat di seluruh negara.
Sementara itu, Fadillah dalam ucapannya turut berkata sumbangan dan perancang serta pengurus bandar wajar dihargai dan diangkat ke tahap lebih tinggi.
"Mereka bukan sahaja penyumbang dasar tetapi sebagai pemimpin perubahan yang membentuk wajah bandar-bandar Malaysia pada masa depan," katanya.
Turut hadir pada majlis hari ini, Menteri Perumahan Nga Kor Ming dan Kerajaan Tempatan, Menteri di Jabatan Perdana (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia mencapai kemuncaknya hari ini, menandakan penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 selepas tiga hari berlangsungnya pelbagai perbincangan dan dialog konstruktif.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

