Skip to main content

Malaysia

Sultan Selangor berkenan hadir Majlis Makan Malam Gala Diraja

Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) bersama Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Royal Gala Dinner Royal Selangor Polo & Equestrian Club (RSPEC) di Cyber Event Hall malam tadi. - Gambar Bernama
Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) bersama Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Royal Gala Dinner Royal Selangor Polo & Equestrian Club (RSPEC) di Cyber Event Hall malam tadi. - Gambar Bernama

Advertisement

CYBERJAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Sabtu berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Makan Malam Gala Diraja anjuran Kelab Polo dan Ekuestrian Diraja Selangor (RSPEC), di sini.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Turut berkenan mencemar duli, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis makan malam itu yang diadakan bersempena dengan sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor, turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Presiden RSPEC, Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail.

Pada majlis itu, Sultan Sharafudin turut berkenan menyampaikan Polo Lifetime Achievement Award kepada sembilan penerima, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan penerima dalam pembangunan sukan polo.

Sementara itu Timbalan Presiden RSPEC, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dalam kenyataan berkata, penganjuran majlis malam ini, menandakan satu lagi langkah penting RSPEC dalam mengembangkan polo dan ekuestrian, sebagai sukan yang lebih dekat dengan masyarakat, selain memperkukuh potensi Selangor sebagai destinasi pelancongan sukan.

“Sebagai sebuah kelab awam dan bukan kelab keahlian eksklusif, RSPEC komited untuk terus menjadi jambatan antara masyarakat dengan dunia polo dan ekuestrian.

“Melangkah ke hadapan, RSPEC akan memperluas penganjuran program sukan, pendidikan dan komuniti bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang, khususnya generasi muda, untuk mengenali, mencuba dan menyertai sukan polo serta ekuestrian,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement