MALAYSIA
Malaysia, Thailand bekerjasama banteras sindiket dadah di sempadan - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution menjawab pertanyaan media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Tahun 2025 hari ini. -Foto Bernama
TAIPING: Malaysia mengukuhkan kerjasama dengan Thailand dalam memperhebat operasi membanteras aktiviti sindiket dadah, susulan harga dadah yang dilaporkan lebih murah di Sungai Golok, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Ringkasan AI
- Kerjasama melibatkan perkongsian maklumat, operasi bersama dan pembinaan kapasiti susulan laporan harga dadah murah di Sungai Golok yang menarik penagih dari Malaysia.
- Sebanyak 212 pangkalan haram ditutup, keanggotaan PGA ditambah, dan Akta Imigresen dikuatkuasakan bagi mengawal lintasan sempadan tanpa dokumen sah.
- KDN sedang menjalankan siasatan terhadap individu di Kelantan yang disyaki berselindung di sebalik gaya hidup mewah untuk menyeludup dadah, dengan jaminan tiada kompromi terhadap jenayah tersebut.
"Yang kedua kita tambah keanggotaan, kita bawa pasukan PGA (Pasukan Gerakan Am), kita tambah di kawasan itu, langkah ketiga kita kuat kuasakan Akta Imigresen iaitu lintas sempadan tanpa dokumen yang sah. Itu langkah segera," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di sini hari ini.
Terdahulu Bernama melaporkan harga dadah yang jauh lebih murah di Sungai Golok, menjadikan bandar sempadan itu sebagai tumpuan penagih, termasuk rakyat Malaysia terutamanya dari Kelantan, sekali gus mendorong pihak berkuasa Thailand memperhebat operasi bagi membanteras aktiviti sindiket di kawasan itu.
Pengerusi Pusat Pentadbiran Narkotik Sungai Golok Supeeyan Daemokleng berkata selain terkenal dengan kegiatan hiburan di malam hari, bandar itu kini turut menjadi lokasi utama penagih menyewa inap desa untuk melepaskan ketagihan.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata walaupun beberapa siri tangkapan dan rampasan berjaya dilakukan namun aktiviti penyeludupan dadah di sempadan bersifat dinamik.
"Kita ada beberapa success story. Ia dinamik. Bila saya sebut kita tutup pintu masuk ataupun kita kawal, tutup (laluan) bekalan haram, kawal pintu sempadan negara, pintu rasmi dan juga jalan tikus ini di kawasan yang sebelah Kelantan tadi, aktiviti penyeludupan itu dia sampai ke Kedah pula.
"Kita menyaksikan ada sedikit peningkatan tangkapan. Jadi dia macam itulah kita peketatkan sana, dia masuk ikut jalan lain," katanya.
Bagaimanapun beliau memberi jaminan pasukan keselamatan terlibat akan sentiasa bersedia dan tidak ada sebarang kompromi terhadap aktiviti tidak bermoral tersebut.
Saifuddin Nasution berkata pihaknya kini sedang meneruskan risikan dan intipan terhadap beberapa pempengaruh di negeri Kelantan, yang berselindung di sebalik kehidupan mewah sebagai satu usaha membanteras aktiviti penyeludupan dadah di negara ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami