Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Yingluck Shinawatra, di Putrajaya pada Khamis sempena rundingan tahunan Malaysia-Thailand ke 5.

Selain Yingluck, delegasi Thailand disertai barisan menteri kabinet serta pegawai kanan kerajaan.

Najib dan Yingluck akan mengadakan pertemuan empat mata yang kemudian disusuli dengan mesyuarat delegasi.

Ia dijangka membincangkan pelbagai kerjasama bilateral, termasuk penyelesaian konflik di selatan Thailand.

Sebelum ini, dalam kenyataannya Bangkok menyuarakan hasrat supaya Kuala Lumpur menjadi perantara dengan kumpulan pemisah di tiga wilayah.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai pembangunan serantau dan global yang menyentuh kepentingan bersama.

Beberapa perjanjian kerjasama bilateral juga akan dimeterai pada sesi rundingan kali ini.

Satu kenyataan bersama juga akan dikeluarkan Najib dan Yingluck pada akhir rundingan.

Sesi rundingan tahunan Malaysia Thailand adalah forum bilateral peringkat tertinggi, bagi meneroka inisiatif baru, bagi memperkukuh kerjasama.

Ia pertemuan kedua selepas Yingluck dilantik perdana menteri pada Ogos tahun lalu.