KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepatkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam sektor pertahanan bagi memperkukuh kerjasama industri tempatan serta meningkatkan keupayaan pertahanan kedua-dua negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu antara fokus utama yang dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Menteri Pertahanan Thailand, Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen, sempena Lawatan Pengenalan Menteri Pertahanan Thailand ke Malaysia.
Beliau berkata pemeteraian MoU berkenaan penting bagi membuka ruang kerjasama lebih luas dalam pembangunan industri pertahanan, termasuk memberi manfaat kepada pemain industri tempatan.
"Kita mahu MoU dapat ditandatangani dan disegerakan supaya kerjasama dalam sektor pertahanan antara kedua-dua negara dapat dipertingkatkan.
"Penekanan kita ialah termeterainya MoU ini supaya dapat memberi perhatian kepada usaha membangunkan industri tempatan," katanya dalam sidang media selepas pertemuan tersebut.
Selain kerjasama industri pertahanan, Mohamed Khaled berkata kedua-dua negara turut memberi perhatian terhadap aspek keselamatan sempadan menerusi mekanisme Jawatankuasa Sempadan Bersama Malaysia-Thailand (General Border Committee).
"Kita bincang soal kerjasama mengawas sempadan antara dua negara yang dilakukan melalui Jawatankuasa Sempadan Bersama Malaysia-Thailand.
"Ia merupakan tanggungjawab sejak 1978 untuk memastikan sempadan selamat daripada kegiatan yang boleh memudaratkan kedua-dua negara seperti penyeludupan dan kemasukan haram," jelasnya sambil memaklumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama Malaysia-Thailand ke-57 pada tahun ini.
Sementara itu, Mohamed Khaled turut mengalu-alukan pelantikan Thanut Suvarnananda sebagai Ketua Dialog Keamanan Selatan Thailand, sambil menyatakan kesediaan Malaysia memberikan kerjasama dalam memastikan keamanan dan kestabilan di kawasan berkenaan.
"Kita alu-alukan pelantikan Thanut Suvarnananda. Ini sebahagian usaha dalam memastikan kawasan selatan Thailand aman dan stabil dapat dijayakan, dan kita beri segala kerjasama agar keamanan serta kestabilan dapat dicapai," katanya.