BANGKOK: Malaysia dan Thailand hari ini memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga menerusi pemeteraian Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) dan Perjanjian Jualan Gas (GSA) baharu bagi Blok A-18-01 di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, yang kini dalam lawatan kerja dua hari ke Thailand, berkata perjanjian yang dimeterai bersempena Gastech 2026 di sini, bakal menjamin kesinambungan pembangunan blok berkenaan, di samping meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong keselamatan tenaga kedua-dua negara.
Akmal berkata perkembangan itu berlaku pada waktu yang penting ketika gas asli terus memainkan peranan utama dalam sistem tenaga dan pertumbuhan sosioekonomi Malaysia, dengan bahan api itu diunjurkan menyumbang sebanyak 56 peratus daripada jumlah bekalan tenaga primer (TPES) negara menjelang 2050.
“Keutamaan adalah untuk memastikan pembangunan sumber tenaga terus menarik pelaburan dan disokong oleh keupayaan industri yang dapat mewujudkan nilai berterusan.
“Kepastian, kesinambungan dan keyakinan amat penting untuk membuka peluang pelaburan, mengekalkan pengeluaran serta menjamin nilai jangka panjang,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Isnin.
PSC Blok A-18-01 dimeterai antara Pihak Berkuasa Bersama Malaysia-Thailand (MTJA), PC JDA Limited dan PTTEP JDX, manakala GSA turut melibatkan PETRONAS dan PTT Public Company Limited.
Akmal berkata kemajuan yang dicapai menerusi Blok A-18-01 menyediakan asas kukuh bagi pembangunan berterusan MTJDA, yang mencerminkan kerjasama hampir lima dekad antara Malaysia dan Thailand.
Beliau berkata momentum daripada perjanjian terbaharu itu seharusnya membuka jalan kepada fasa seterusnya bagi pembangunan PSC dan GSA baharu untuk Blok B-17-01.
“Momentum yang tercipta hari ini seharusnya membuka jalan kepada fasa seterusnya dalam pembangunan PSC dan GSA baharu bagi Blok B-17-01, ketika kita terus memanfaatkan sepenuhnya potensi MTJDA demi manfaat kedua-dua negara,” katanya.
Akmal turut berkata Malaysia mengharapkan rakan industri dan kontraktor menyediakan modal, teknologi, kepakaran serta komitmen jangka panjang yang diperlukan untuk membangunkan sumber terbabit secara bertanggungjawab dan berdaya maju dari segi komersial.
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, Menteri Tenaga Thailand Akanat Promphan dan Akmal menyaksikan majlis pemeteraian itu.
Sementara itu, Akanat menyifatkan MTJDA sebagai model kerjasama dua hala yang berjaya berteraskan kepercayaan dan kepentingan bersama, sambil berkata perjanjian baharu itu menandakan satu lagi fasa penting dalam kerjasama tenaga Malaysia-Thailand.
Beliau berkata pembangunan itu berpotensi merangsang pelaburan, menyokong pembangunan mampan dan menyumbang kepada kemakmuran bersama.
-- BERNAMA