Skip to main content

Dunia

Hakeem Jeffries umum hasrat jadi Speaker Dewan Perwakilan AS

Hakeem Jeffries bercakap pada satu sidang media di Washington, 4 Nov 2026. (Foto AP)
Hakeem Jeffries bercakap pada satu sidang media di Washington, 4 Nov 2026. (Foto AP)
Advertisement

WASHINGTON: Ketua Demokrat di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Hakeem Jeffries memohon sokongan untuk menjadi Speaker Dewan Perwakilan yang baharu pada Rabu susulan kemenangan Parti Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam surat kepada anggota Kongres ke-120 yang bakal mengangkat sumpah, Jeffries meraikan kejayaan pilihan raya partinya dengan menyatakan bahawa “America is back” selain menggesa hala tuju politik baharu yang memberi tumpuan kepada kemampuan rakyat menanggung kos sara hidup, akauntabiliti dan nilai-nilai Amerika.

“Saya menulis surat ini dengan penuh rendah hati, memohon sokongan anda terhadap pencalonan saya sebagai Speaker Dewan Perwakilan yang seterusnya,” kata beliau.

Advertisement

Jeffries berikrar untuk mengutamakan usaha mengurangkan kos sara hidup, membatalkan pemotongan peruntukan Medicaid, memulihkan pembiayaan bantuan makanan, melanjutkan kredit cukai di bawah Akta Penjagaan Kesihatan Mampu Milik serta memansuhkan tarif yang diperkenalkan ketika pentadbiran Presiden Donald Trump.

Beliau turut menggesa supaya perang di Iran ditamatkan kerana menurutnya, konflik itu menjadi punca kenaikan harga petrol.

Advertisement

Jeffries juga berjanji memperkukuh pengawasan Kongres terhadap pentadbiran Trump, mengambil langkah membanteras rasuah dan tindakan menaikkan harga secara melampau serta melarang anggota Kongres daripada menjalankan urus niaga saham.

Beliau turut menekankan kepentingan melindungi hak mengundi, memastikan layanan sama rata di sisi undang-undang serta mempertahankan tradisi AS sebagai sebuah negara yang dibina oleh golongan imigran.

Jeffries berkata Parti Demokrat berjaya mencabar pentadbiran Trump meskipun berada dalam kelompok minoriti sebelum ini, dan kini perlu melaksanakan perubahan dasar yang lebih menyeluruh.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement