KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mengiktiraf atau melayan sebarang tuntutan remeh yang dibuat oleh mana-mana pihak termasuk sekumpulan individu yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu ke atas Sabah.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan Persekutuan itu pada 16 Sept 1963.

"Malah kolokium ini tepat pada masanya kerana kita baru sahaja meraikan sambutan Hari Malaysia yang ke-60 lebih seminggu lepas," katanya dalam ucapan penutup di Kolokium Timbang Tara Antarabangsa London 2023: Kedaulatan Negara dan Kekebalan dalam Timbang Tara Komersial di Pusat Resolusi Pertikaian Antarabangsa (IDRC), di London, pada Isnin.

Zambry berkata, meskipun penghakiman bersejarah yang dibuat oleh mahkamah di Perancis dan Belanda sebelum ini berkaitan tuntutan kumpulan Sulu memihak kepada Malaysia, negara masih berdepan pertempuran dari segi perundangan merentasi pelbagai bidang kuasa di beberapa negara dalam usahanya untuk membatalkan pengiktirafan dan penguatkuasaan award akhir timbang tara dalam kes itu.

"Meskipun kesemua tindakan ini telah mengorbankan sumber yang berharga iaitu dana yang boleh digunakan bagi menyokong perkembangan sosioekonomi di Malaysia, saya ingin mengulangi di sini bahawa Malaysia tidak akan berkompromo dalam usaha melindungi kedaulatan dan integriti wilayahnya," kata beliau.

Zambry juga berkata, apa yang lebih menjengkelkan susulan pemberian award akhir itu ialah hakikat bahawa nasib Malaysia masih diputuskan oleh individu yang tidak mempunyai kaitan dengan rantau Asia Tenggara.

"Mengapa kelangsungan dan nasib Malaysia terletak di tangan penimbang tara yang berlagak seperti seorang samseng di Eropah? Ungkapan tidak adil langsung tidak boleh mentafsirkan penjajahan bentuk baharu ini. Malah ia menunjukkan sedari mula lagi, proses timbang tara itu adalah salah. Atau terma yang lebih biasa didengar oleh khalayak hari ini ialah mala fide," katanya.

"Setakat ini, terdapat kebimbangan lebih besar bahawa jika kekurangan dan kelemahan dalam proses timbang tara antarabangsa tidak ditangani dengan segera, negara lain mungkin berdepan nasib yang serupa dengan Malaysia.

"Hakikat bahawa entiti bukan negara boleh meneruskan penguatkuasaan serentak award akhir yang penuh dengan tipu helah itu tanpa persetujuan pihak yang berkaitan atau dalam kata lain, 'forum-shopping' sepatutnya menjadi amaran kepada kita semua di sini hari ini.

"Bagaimana kita boleh membiarkan timbang tara diselubungi oleh dakwaan penyalahgunaan proses dan tindakan yang salah?" kata Zambry.

Beliau berkata, ketika norma, nilai dan amalan biasa semakin menjadi taruhan, semua pihak tidak boleh berdiam diri menyaksikan penyalahgunaan proses timbang tara yang berlaku di depan mata.

"Tidak dinafikan terdapat entiti jahat yang berniat untuk menjejaskan integriti dan kesahihan sistem timbang tara demi kepentingan sendiri.

"Ini akan mengancam prinsip asas keadilan dan kesaksamaan sistem undang-undang yang dipercayai oleh kebanyakan kita. Dengan itu, sudah tiba masanya kita memperbaharui ekosistem litigasi pihak ketiga bagi memastikan keseimbangan yang adil antara akses kepada keadilan dan ketelusan tindakan litigasi," katanya.

Zambry juga berkata, Malaysia mengakui kepentingan timbang tara sebagai sebahagian daripada resolusi pertikaian alternatif, peranan institusi timbang tara antarabangsa dan prosesnya dalam menyelesaikan isu-isu yang rumit.

"Meskipun Tuntutan Sulu telah mengejutkan Malaysia, dan saya percaya, seluruh dunia juga, ia turut menonjolkan hakikat bahawa masanya sudah tiba untuk membaik pulih sistem itu," katanya. - BERNAMA