Skip to main content

Malaysia

Malaysia tidak akan neutral dalam isu hak asasi, kedaulatan negara - PM

Kuala Lumpur , 2 Julai 2026.Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-39 di Grand Hyatt, Kuala Lumpur.Astro AWANI /SHAHIR OMAR
Anwar berkata walaupun Malaysia mengamalkan dasar luar yang bebas dan berkawan dengan semua pihak, namun dalam isu-isu prinsip seperti perjuangan Palestin dan menangani Islamofobia, negara akan tetap bersuara dengan tegas. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan tidak akan mengambil sikap berkecuali atau neutral dalam perkara yang melibatkan hak asasi manusia sejagat serta kepentingan teras nasional, termasuk soal kedaulatan wilayah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan itu susulan konflik berpanjangan di Gaza, Ukraine dan Sudan yang terus mengorbankan nyawa orang awam, selain menunjukkan kegagalan masyarakat antarabangsa mempertahankan prinsip yang selama ini menjadi asas kepada keamanan global.

Tambah beliau, walaupun Malaysia mengamalkan dasar luar yang bebas dan berkawan dengan semua pihak, namun dalam isu-isu prinsip, negara akan tetap bersuara dengan tegas.

"Malaysia tidak boleh kekal neutral dalam perkara yang melibatkan hak asasi asas, seperti perjuangan Palestin, atau dalam usaha menangani Islamofobia. 

"Begitu juga dalam kepentingan teras nasional kita, termasuk kedaulatan wilayah, walaupun ia melibatkan rakan kongsi yang berkuasa seperti China dan Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-39 di sini, hari ini.

Mengulas mengenai persaingan kuasa besar dunia, Anwar berkata Malaysia memilih untuk mengambil pendirian berprinsip dan bukannya memihak kepada mana-mana blok demi kepentingan geopolitik pihak lain.

Beliau mengakui terdapat jangkaan daripada pihak tertentu agar Malaysia mengambil pendirian yang lebih keras terhadap China, namun tegas beliau, Malaysia memilih untuk mengekalkan hubungan baik dengan jiran ekonominya itu.

"Kita mengambil pendirian dan kedudukan yang berprinsip, bukannya memihak. Ini lebih mudah diperkatakan daripada dilaksanakan. Kita kadangkala diharapkan untuk mengambil pendirian tegas terhadap jiran kita, China. Tetapi kita telah katakan, tidak.

"Kita akan terus memupuk persahabatan. Malaysia masih mencatatkan AS sebagai destinasi pelaburan dan perdagangan nombor satu, namun pada masa yang sama, kita kekal agresif dan terlibat secara lebih berkesan dengan China sebagai jiran ekonomi yang semakin berkembang dan penting buat kita," tambah beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menekankan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap penyelesaian pertikaian secara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Tegas beliau, penggunaan kekerasan atau paksaan, sama ada dari sudut ketenteraan mahupun ekonomi, hanya akan memburukkan lagi keadaan dan mendatangkan kesan yang tidak diingini.

"Norma-norma seperti kebebasan pelayaran, menghormati kedaulatan, dan pematuhan kepada kerangka undang-undang yang telah ditetapkan adalah sangat penting untuk keselamatan serantau dan global," tambah Anwar.

Beliau berkata matlamat utama Malaysia adalah untuk memastikan keamanan dan kemakmuran sentiasa berada di hadapan, sambil pada masa yang sama tetap melindungi keselamatan nasional negara.

Must Watch Video

Advertisement