MALAYSIA
Malaysia tidak bergerak sendirian dalam misi bebaskan tahanan GSF – Menteri Luar

Mohamad bercakap semasa sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) hari ini. - Foto Bernama
SEPANG: Malaysia tidak bergerak sendirian dalam usaha membebaskan 23 sukarelawan negara yang kini ditahan di Israel selepas menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), sebaliknya mendapat jaminan bantuan daripada pelbagai negara sahabat.
Ringkasan AI
- Malaysia dapat sokongan antarabangsa termasuk Turki, Mesir, Jordan, ASEAN dan AS untuk usaha membebaskan 23 sukarelawan yang ditahan di Penjara Ketziot, Israel selepas misi Global Sumud Flotila.
- Kerajaan merangka dua laluan pulang melalui Jordan atau transit di Doha, namun komunikasi dengan sukarelawan terputus kerana mereka dipenjara dan Israel menyambut Yom Kippur.
- Proses pembebasan disegerakan dengan bantuan peguam ADALAH, walaupun ada peserta dibicarakan tanpa peguam; sukarelawan disaran tandatangani surat deportasi.
Menurutnya, Malaysia juga telah meminta negara-negara ASEAN untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang kini ditahan di pusat tahanan Imigresen Israel iaitu di Penjara Ketziot.
“Kita tak tahu ke mana jika mereka nak dihantar keluar tetapi kerajaan Malaysia telah pun berhubung dengan rakan sejawat beliau, Presiden Erdogan dan juga Perdana Menteri Mesir.
“Saya sendiri telah berhubung dua tiga kali dengan rakan sejawat dari Jordan dan Mesir serta mendapat WhatsApp daripada Timbalan Setiausaha AS.
"Saya minta bantuan kepada mereka semasa berada di New York jika apa-apa berlaku,” katanya semasa sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), di sini, hari ini.
Mohamad menegaskan, Turkiye telah memberi jaminan untuk membantu membawa pulang rakyat Malaysia sebaik mereka dibebaskan daripada tahanan Israel.
Kerajaan kini merangka dua laluan pulang, sama ada melalui Jordan terus ke Kuala Lumpur atau transit di Doha sebelum kembali ke tanah air.
“Kita ada dua pintu (keluar) tetapi yang mudah adalah daripada pintu Jordan, Pintu King Hussein,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kesemua sukarelawan Malaysia masih berada di penjara Israel dan komunikasi langsung dengan mereka kini terputus.
“Pusat operasi kita sentiasa memantau keadaan mereka secara langsung, tetapi kini apabila dipenjara, komunikasi kita hanya melalui perantaraan pasukan Peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH),” katanya.
Menteri Luar itu turut menambah bahawa beberapa peserta flotila telah dibicarakan tanpa kehadiran peguam, dan perkara itu dibantah keras oleh pihak peguam yang mewakili mereka.
Bagi mempercepatkan proses pembebasan, katanya, sukarelawan Malaysia telah disarankan supaya menandatangani surat deportasi.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan situasi komunikasi menjadi lebih sukar kerana Israel kini menyambut perayaan Yom Kippur.
“Sejak semalam hingga beberapa hari ini semua pejabat di Israel ditutup kerana Yom Kippur, (oleh itu) komunikasi agak terputus. Kita harap Isnin apabila pejabat dibuka semula, hubungan dengan perantaraan peguam dapat diteruskan,” jelasnya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami