KUALA LUMPUR: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memperhalusi prospek ke arah mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara dua negara khususnya dalam konteks pertahanan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara tersebut dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

"Kami senada bahawa prospek ini mesti diterokai sebaik mungkin demi memacu kerjasama pertahanan Malaysia-UAE ke tahap yang lebih tinggi.

"Ini termasuklah dengan meningkatkan perkongsian kepakaran serta pengalaman Malaysia dan UAE demi kepentingan keselamatan rakyat masing-masing," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Hishammuddin yang kini berada di UAE sempena lawatan rasmi berkata, turut dibincangkan beliu dan Sheikh Mohamed Zayed ialah berhubung keperluan meningkatkan semangat persefahaman berteraskan nilai-nilai perpaduan dan tolak ansur.

Katanya, perkara tersebut bersesuaian dengan penubuhan Kursi Sheikh Zayed di Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia secara sintesis dengan Kursi Tun Hussein Onn yang telah lama ditubuhkan.

"Kami percaya, pemegang kedua-dua Kursi ini harus bekerjasama dalam menggalakkan perpaduan dan keupayaan, terutamanya dengan perkongsian nilai nilai Sheikh Zayed dan Tun Hussein Onn.

"Usaha ini penting dalam usaha memahami bahawa keharmonian, toleransi dan perpaduan merupakan asas kejayaan sesebuah negara.

"Di akhir pertemuan, kami bertukar pandangan mengenai beberapa isu kepentingan serantau serta antarabangsa," katanya lagi.

Sempena lawatan itu juga, Hishammuddin turut mengadakan mesyuarat bersama Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan UAE, Mohamed Ahmed Al Bowardi.

Dalam mesyuarat tersebut kedua-dua negara bersetuju untuk mengadakan latihan dua hala melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera UAE.

Hishamuddin menjelaskan, latihan dua hala itu akan tertumpu di kawasan darat melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Darat UAE.

Turut disepakati kedua-dua negara, kata beliau, ialah persetujuan untuk meningkatkan pertukaran dan latihan pegawai ketenteraan antara kedua dua angkatan tentera.

"Meningkatkan penglibatan antara ketenteraan (military to military) di peringkat tertinggi. Perkara ini turut dipersetujui oleh Panglima ATM dan Ketua Staf Angkatan Tentera UAE, Leftenan Jeneral Hamad Mohammed Thani al-Rumaithi.

"Mengeratkan kerjasama berkaitan industri pertahanan terutama berhubung Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) Malaysia," katanya lagi.

Hishammuddin turut menyampaikan jemputan kepada Mohammed Ahmed Al Bowardi untuk hadir ke Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA) pada 23 hingga 27 Mei 2023.

Lawatan itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM.