KUALA LUMPUR: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sedia memperkukuhkan lagi kerjasama diplomasi sekuriti makanan antara kedua-dua negara, menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini.

MAFI dalam kenyataan memaklumkan perkara itu dibincangkan pada pertemuan dua hala antara Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee dengan Menteri Perubahan Iklim dan Alam Sekitar UAE Mariam Bint Mohammed Saeed Hareb Almheiri, yang diadakan sempena lawatan kerja Ronald selama tujuh hari ke Arab Saudi dan UAE bermula 24 Ogos lepas.

Selain itu, pelbagai usaha strategik kerajaan dengan kerajaan (G2G) secara bilateral turut dibincangkan secara lanjut bagi mengukuhkan lagi kerjasama dalam sektor pertanian kedua-dua negara yang telah wujud melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan UAE bagi Kerjasama Diplomasi Sekuriti Makanan, sejak 10 Mac 2021.

"Untuk rekod, jumlah nilai dagangan pertanian antara kedua-dua negara telah meningkat daripada RM1.14 billion pada 2020 kepada RM1.51 billion pada 2021," menurut MAFI.

Menurut kementerian itu, perjumpaan dua hala antara delegasi MAFI dan Kementerian Perubahan Iklim dan Alam Sekitar UAE sejurus selesai mesyuarat dua hala ke Arab Saudi pula dapat memperkukuh dan memperluaskan kerjasama terutamanya dalam penyelidikan dan pembangunan, perkongsian teknologi, fasilitasi perdagangan bagi produk dan aktiviti hiliran agromakanan, galakan akses pasaran serta pertukaran latihan dan kepakaran.



MAFI-UAE (MAKANAN) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR



"Selain itu, lawatan kerja ini turut mengukuhkan kerjasama teknikal antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan International Center for Biosaline Agriculture (ICBA) dalam pertanian mampan melalui pengurusan pengairan dan perubahan iklim.

"Kerjasama ini yang dimulakan pada 21 Februari 2022 memberi ruang kepada kedua-dua buah negara untuk berkongsi teknologi dan pengalaman dalam meningkatkan produk dan hasil pertanian," menurut kenyataan itu.

Menurut MAFI, dalam menjaga kepentingan sektor pertanian Malaysia di rantau Asia Barat, Pejabat Perwakilan Pertanian (PPP) juga telah ditempatkan di Dubai, sejak 2008 yang berperanan sebagai pengantara antara kedua-dua negara dalam kerjasama dan pelaburan bidang pertanian.

"Kerjasama erat yang terjalin melalui perjumpaan dua hala ini diharap akan terus mengukuhkan hubungan kerjasama dua hala dalam sektor pertanian dan industri makanan antara Malaysia dengan UAE sekali gus menjamin sekuriti makanan di kedua-dua buah negara," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA