KUALA LUMPUR : Malaysia kekal komited dalam memastikan penanaman pokok sawit dilaksanakan secara mampan, termasuk larangan ditanam di kawasan perhutanan kekal manakala keluasan kawasan penanaman dihadkan hanya 6.5 juta hektar di seluruh negara.

Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Datuk Willie Mongin syarat itu bertujuan memastikan kualiti sawit yang dihasilkan adalah terjamin selain menangkis diskriminasi terhadap minyak sawit terutama daripada negara-negara Eropah.

"Kita tidak boleh tanam sawit di perhutanan kekal dan ini merupakan syarat di bawah Jabatan Perhutanan. Ini juga salah satu syarat bagi tujuan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) yang berkaitan dengan kualiti dan standard yang digunapakai di seluruh negara," katanya di sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya mengapa penanaman sawit tidak dijadikan sebahagian daripada tanaman hutan agar Malaysia tidak terus dilabelkan sebagai membersihkan hutan bagi tujuan penanaman sawit.

Willie berkata, pensijilan MSPO juga bertujuan memastikan peningkatan produktiviti, hasil berkualiti dan akses lebih besar ke pasaran antarabangsa yang seterusnya dapat menyumbang kepada pendapatan lebih tinggi, terutama untuk kalangan pekebun kecil.

Kesatuan Eropah (EU) yang juga antara pengimport utama minyak sawit Malaysia, telah mensyaratkan hanya minyak sawit lestari dibenarkan memasuki pasaran Eropah.

Selain itu, menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) mengenai kutipan dana diterima oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), beliau berkata badan itu telah menerima peruntukan RM8.02 juta setakat Julai lepas.

"Peruntukan ini digunakan bagi membiayai kos pengurusan selain program dan projek dilaksanakan di bawah MPOGCF.

"Daripada peruntukan itu, sebanyak RM726,708 telah dibelanjakan sehingga Ogos 2021 yang merangkumi projek Unit Penyelamat Hidupan Liar sebanyak RM722,476 iaitu masing-masing RM472,476 pada 2021 dan RM250,000 pada 2020.

"Projek konservasi Harimau Malaya berjumlah RM3,602. Perbelanjaan projek lain dibuat mengikut pencapaian dan kemajuan projek dari semasa ke semasa selaras dengan kebenaran pergerakan yang telah diberikan oleh kerajaan," katanya.

-- BERNAMA