KUALA TERENGGANU: Malaysia akan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Vietnam pada tahun ini, bagi memperkukuhkan kerjasama dalam bidang keselamatan perairan termasuk mengatasi masalah pencerobohan nelayan negara itu, terutama di perairan Pantai Timur.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata draf MoU tersebut kini di peringkat akhir penyediaan dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk disemak.

"Kedua-dua pihak iaitu APMM dan 'Vietnam Coast Guard' bersetuju untuk menandatangani MoU tersebut yang melibatkan kerjasama pelbagai bidang termasuk penguatkuasaan dan operasi Carilamat.

"Bila kita ada kerjasama ini, saya yakin masalah pencerobohan nelayan Vietnam ke perairan negara terutama di negeri Pantai Timur akan dapat diatasi melalui perkongsian maklumat. Contohnya, bila kita tahu bot nelayan mereka (Vietnam) memasuki perairan negara, kita boleh kongsi maklumat melalui AIS (Sistem Pengenalan Automatik) dan mereka boleh menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Maritim Terengganu di sini pada Isnin yang turut dihadiri Pengarah APMM Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.

Selain itu katanya kerjasama APMM dan 'Vietnam Coast Guard' itu kedua-dua pihak dapat berkongsi pengalaman dan menjalani latihan bersama-sama.

Katanya, sejak April 2019 hingga kini seramai 1,609 nelayan Vietnam dan 159 bot nelayan telah ditahan melalui pelaksanaan Op Naga dan Op Kuda Laut, melibatkan rampasan keseluruhan berjumlah RM493.4 juta.

"Sejak APMM beroperasi pada 2006 hingga sekarang, kita telah berjaya menahan hampir 2,000 bot nelayan asing Vietnam dan sebanyak 80 peratus daripada bot tersebut telah ditenggelamkan setelah memperoleh hak perlucutan dari mahkamah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zubil berkata APMM akan menerima aset tambahan iaitu tiga kapal peronda persisir pantai bagi mengukuhkan lagi keselamatan di sempadan perairan negara, namun berlaku kelewatan disebabkan penularan pandemik COVID-19.

"Kapal peronda persisir pantai yang pertama sudah siap dan sepatutnya kita (APMM) dapat pada tahun ini manakala selebihnya kita akan terima tahun depan," katanya menambah aset baharu APMM itu mungkin akan diletakkan di perairan Kemaman.

Selain itu Mohd Zubil berkata APMM telah menerima peruntukkan sebanyak RM280 juta untuk pembelian kapal Misi Pelbagai guna (MPMS) yang berteknologi tinggi serta dilengkapi empat bot pemintas dan dron yang canggih.

-- BERNAMA