Meskipun berlainan fahaman politik malah bertanding dalam PRU14, itu tidak menghalang calon di Lenggong minum bersama ketika sedang sibuk berkempan.

Calon BN Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, berpolitik perlu ada batasannya tanpa memutuskan hubungan sesama manusia.

Begitupun, katanya, prinsip mempertahan dan memelihara BN sentiasa menjadi keutamaan namun hubungan baik dengan rakan mahupun lawan tetap dijaga sebaiknya.

Pendekatan inilah yang menjadi sebab mengapa Parlimen Lenggong, Dun Kota Tampan dan Dun Kenering terus menjadi kubu kuat kepada BN.

Malah, program yang saya buat di Lenggong semasa jadi Ahli Parlimen seperi Pesta Makanan, Jamuan Rakyat turut dihadiri ahli atau penyokong pembangkang.

“Hubungan kami dengan rakyat juga sentiasa baik. Kami calon-calon BN di Lenggong sentiasa rasional dan berkempen secara matang,” katanya.

Tambah beliau, penularan gambarnya berbual bersama calon dari Pas bukanlah bermakna beliau tidak menjaga kebajikan penyokong BN di Lenggong.

“Sudah tentulah saya beri tumpuan kepada penyokong BN kerana merekalah yang sentiasa mempertahan dan memenangkan BN di Lenggong,” ujarnya.