BEBERAPA faktor memainkan peranan dalam meningkatkan beban sistem penjagaan kesihatan awam, dan ia termasuk populasi menua.

Menjelang tahun 2056, Malaysia akan menjadi "masyarakat super-tua", dengan lebih daripada 20% daripada penduduknya berusia 65 tahun ke atas [1]. Penuaan dan kebergantungan (penurunan bilangan golongan usia bekerja) diikuti dengan peningkatan kes penyakit bukan berjangkit (NCD) mewujudkan pelbagai bebanan seperti penyakit sejenis kepada penyakit pelbagai jenis dan penyakit kronik akut.

Keadaan seperti ini meningkatkan beban kepada sistem penjagaan kesihatan termasuk kos yang besar kepada pihak kerajaan. Kementerian Kesihatan menjangka perbelanjaan kesihatan akan mencapai nilai AS$80 bilion (RM351.6 bilion) menjelang tahun 2040 [20].

Selain daripada kos yang semakin meningkat, pandemik COVID-19 memaksa semua negara untuk menilai semula sistem penjagaan kesihatan dan melaksanakan pengubahsuaian. Pada tahun 2022, Majlis Penasihat Kertas Putih Kesihatan yang terdiri daripada 13 orang ahli telah ditubuhkan di Malaysia untuk menangani beban penjagaan kesihatan awam serta menjamin masa depan kemampuan sistem penjagaan kesihatan kita.

Di samping mencari jalan mereformasi sistem, adakah kita bersedia untuk penjagaan kendiri?

Konsep penjagaan kendiri bukanlah sesuatu yang baharu. Penerimaan terhadap budaya penjagaan kendiri dengan memaklumkan pengguna agar membuat keputusan yang tepat tentang kesihatan mereka dapat memainkan peranan dalam mengurangkan masa yang dibelanjakan oleh para pakar kesihatan. Ia membolehkan pakar kesihatan menumpu kepada masalah kesihatan yang lebih kritikal sekali gus mengurangkan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan awam.

Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan penjagaan kendiri sebagai, "individu, keluarga, atau masyarakat yang menggalakkan dan mengekalkan kesihatan diri sendiri, mencegah penyakit, dan mengatasi penyakit serta kekurangan keupayaan, dengan atau tanpa sokongan pekerja kesihatan" [3].

Kecelikan kesihatan adalah penting dalam membangunkan konsep penjagaan kendiri di mana orang ramai mempunyai akses kepada maklumat yang tepat dan produk yang betul. Ini membolehkan individu dan masyarakat melindungi, menyembuh dan memelihara kesihatan diri sendiri, pada masa yang sama, menyokong kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Kertas putih penjagaan diri Persatuan Farmaseutikal Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2020 menyatakan bahawa ilmu pengetahuan dan kecelikan kesihatan adalah tonggak utama penjagaan kendiri.

Membangunkan kecelikan kesihatan merupakan langkah pertama mewujudkan dan meningkatkan ekosistem penjagaan kendiri. Ia boleh dicapai menerusi usaha sama pelbagai sektoral antara pihak kerajaan, korporat swasta dan orang awam dalam skala besar. Ini memerlukan penglibatan pemegang taruh yang komited dari lanskap dan komuniti kesihatan.

Peningkatan kadar kecelikan dalam kalangan dewasa turut menyumbang kepada kesedaran kesihatan yang kian meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia sekali gus mendorong permintaan untuk produk pencegahan dan kesejahteraan. Kajian oleh Universiti Monash mendapati suplemen dan vitamin merupakan produk penjagaan kendiri yang paling umum digunakan, diikuti oleh ubat tahan sakit, ubat selsema dan batuk, serta produk sakit tekak [4].

Reckitt (Health) Malaysia Sdn Bhd, sebuah syarikat kebersihan, kesihatan, dan nutrisi, merupakan pengamal teguh konsep penjagaan kendiri dan pembangunan kecelikan kesihatan. Syarikat ini bekerjasama dengan European Union-Asian Business Council (EU-ABC) untuk menjalankan kaji selidik mengenai penjagaan kendiri.

Pengarah Hal Ehwal Peraturan dan Dasar Reckitt, Ali M Abdullah berkata, kaji selidik [5] itu dijalankan di seluruh Malaysia, Thailand, Indonesia, dan Vietnam, untuk memahami sikap pengguna terhadap penjagaan kendiri. Beliau berkata pandemik COVID-19 telah membuktikan keupayaan pengguna terhadap penjagaan kendiri ekoran peningkatan kesedaran untuk membantu sistem kesihatan.

"Kajian itu menunjukkan evolusi penjagaan kesihatan semasa pandemik, apabila pengguna lebih yakin menguruskan penyakit kecil tanpa campur tangan pengamal kesihatan. Kajian itu juga mendapati rakyat Malaysia menerima hakikat bahawa walaupun kerajaan menyokong kemudahan penjagaan dan penyembuhan kendiri, lebih banyak lagi yang boleh dilakukan. Ini termasuk akses kepada ubat untuk penyakit minor dan meningkatkan ketersediaan ubatan kaunter tanpa preskripsi," katanya.

Tatkala perbincangan berpusat kepada strategi untuk mengurangkan beban sistem penjagaan kesihatan Malaysia, adakah penjagaan kendiri akan menjadi sebahagian daripada intipatinya?


[1] The World Bank. A silver lining: Productive and inclusive aging for Malaysia.
[2] PhAMA Self Care White Paper
[3]  WHO guideline on self-care interventions for health and well-being 
[4] PhAMA Self Care White Paper
[5] Paper on promoting self-care in Asean to improve health & wellbeing of citizens in Southeast Asia




* Artikel ini tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.