Skip to main content

Malaysia

Mandiri, HAYAT cabar pembekuan akaun melalui saluran undang-undang

AWANI
Satu sidang media diadakan di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri dan HAYAT akan mencabar tindakan pembekuan akaun bank organisasi masing-masing melalui saluran undang-undang selepas mendakwa masih belum menerima penjelasan jelas daripada pihak berkuasa mengenai asas tindakan berkenaan.

Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hadi berkata, kedua-dua organisasi sudah melantik peguam bagi meneruskan proses mencabar pembekuan akaun tersebut.

“Kami telah berbincang dengan peguam. Kami telah melantik peguam untuk meneruskan proses mencabar pembekuan akaun bank kami. Itu Mandiri dan HAYAT.

“HAYAT akan ada peguam, Mandiri akan ada peguam dan kami akan meneruskan proses untuk mencabar pembekuan akaun bank kami,” katanya pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Dakwa Amir, pembekuan itu bukan sahaja melibatkan akaun organisasi Mandiri dan HAYAT, malah akaun bank peribadinya serta akaun peribadi Pengarah Eksekutif HAYAT, Dobby Chew.

Amir juga mendakwa pihaknya tidak menerima sebarang makluman daripada pihak berkuasa mengenai tindakan tersebut sebelum mendapatkan penjelasan daripada pihak bank.

“Kami tidak diberikan apa-apa maklumat langsung daripada mana-mana pihak berkuasa. Polis, SPRM, BNM dan lain-lain. Kami tidak menerima apa-apa maklumat.

“Kami pergi ke bank untuk bertanya mengapa akaun kami dibekukan. Akhirnya bank memberikan surat kepada kami. Ia menyatakan bahawa kami kini dalam siasatan di bawah AMLA dan arahan daripada pihak polis,” katanya.

Kenyataan bersama #HentiBungkamNGO yang dikeluarkan pada Ahad turut mendakwa tiada notis rasmi atau penjelasan diberikan kepada pihak terlibat mengenai asas pembekuan akaun atau sekatan perjalanan.

Menurut kenyataan itu, Amir dan Dobby hanya mengetahui asas pembekuan akaun menerusi surat daripada bank masing-masing.

Kenyataan berkenaan turut mendakwa kedua-duanya masih belum dipanggil untuk disoal siasat berhubung sebarang dakwaan kesalahan ketika sekatan perjalanan dikenakan terhadap mereka.

Pembekuan akaun berkenaan, menurut kenyataan sama, menjejaskan keupayaan Mandiri dan HAYAT untuk melaksanakan urusan organisasi termasuk pembayaran gaji, perbelanjaan program serta komitmen operasi lain.

Amir berkata MANDIRI tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan bersedia sekiranya terdapat perkara yang perlu disiasat.

“Kami tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Seperti yang saya sebutkan tadi, akaun kami telah diaudit. Kami boleh tunjukkan audit akaun kami.

“Tidak ada satu sen pun yang kami curi. Tetapi kalau ada sesuatu yang kami terlepas pandang, mungkin kami tidak tahu. Kami akan siasat,” katanya.

Menurut Amir, pembekuan akaun turut memberi kesan terhadap kerja yang dijalankan kedua-dua organisasi.

Mandiri, katanya, menjalankan program berkaitan demokrasi dan bekerjasama rapat dengan golongan muda, manakala HAYAT terlibat dalam reformasi undang-undang jenayah serta membantu individu dan keluarga dalam proses membina semula kehidupan dan kembali kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Amir berkata kenyataan bersama membantah tindakan terhadap organisasi masyarakat sivil itu telah mendapat sokongan 89 organisasi dalam tempoh kurang 24 jam selepas dikeluarkan.

Beliau turut memaklumkan pihaknya merancang untuk bertemu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada Khamis bagi membuat aduan dan meminta badan berkenaan campur tangan dalam isu tersebut.

“Saya berharap kerajaan akan memberikan jawapan. Polis akan memberikan jawapan mengapa kami disiasat, apakah perkara yang mahu disampaikan kepada kami,” katanya.

Gabungan #HentiBungkamNGO dalam kenyataan bersamanya sebelum ini menyeru kerajaan memberikan penjelasan yang telus dan jelas mengenai asas tindakan terhadap Amir, Dobby, MANDIRI dan HAYAT.

Gabungan itu turut menggesa supaya pembekuan akaun dan sekatan perjalanan berkenaan ditarik balik sekiranya tiada asas sah bagi tindakan tersebut.

Must Watch Video

Advertisement