Skip to main content

Malaysia

Radzi cadang wajibkan label sumber ayam

Menurut Radzi,  kes berkenaan mendedahkan kelompangan dalam rantaian bekalan ayam, khususnya apabila pengguna tidak mempunyai maklumat jelas mengenai lokasi pemprosesan dan sumber bekalan ayam yang dijual. - Gambar fail
Menurut Radzi, kes berkenaan mendedahkan kelompangan dalam rantaian bekalan ayam, khususnya apabila pengguna tidak mempunyai maklumat jelas mengenai lokasi pemprosesan dan sumber bekalan ayam yang dijual. - Gambar fail

Ringkasan AI

  • Kerajaan digesa melaksanakan pelabelan sumber bekalan ayam bagi memaklumkan status pensijilan halal dan pentauliahan penyembelih di pusat pemprosesan.
  • Cadangan pelabelan dua kategori dicadangkan, membezakan pusat pemprosesan ayam yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan yang hanya menggunakan penyembelih bertauliah.
  • Menteri KPDN menyambut baik cadangan tersebut dan menegaskan keperluan penyelarasan antara agensi berkaitan untuk meningkatkan ketelusan serta melindungi pengguna.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempertimbangkan pelaksanaan pelabelan sumber bekalan ayam bagi membolehkan pengguna mengetahui status pensijilan halal dan pentauliahan penyembelih di pusat pemprosesan ayam.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin berkata, cadangan itu penting susulan beberapa isu tular membabitkan pemprosesan dan penyembelihan ayam yang diragui pematuhannya terhadap hukum syarak, termasuk kes di Puchong dan Pudu.

Menurutnya, kes berkenaan mendedahkan kelompangan dalam rantaian bekalan ayam, khususnya apabila pengguna tidak mempunyai maklumat jelas mengenai lokasi pemprosesan dan sumber bekalan ayam yang dijual.

Advertisement

Beliau turut mempersoalkan kelewatan pihak berkuasa mendedahkan identiti pengusaha serta destinasi bekalan ayam yang terlibat dalam kes berkenaan.

“Berapa lama nak siasat ataupun adakah pihak yang berkaitan menunggu supaya rakyat senyap,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Dewan Rakyat.

Advertisement

Cadang dua kategori pelabelan

Radzi mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan maklumat pelabelan yang membezakan bekalan ayam daripada pusat pemprosesan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dengan pusat pemprosesan yang tidak mempunyai sijil tersebut tetapi menggunakan penyembelih bertauliah daripada pihak berkuasa agama negeri.

Katanya, maklumat berkenaan wajar dipaparkan di pasar raya, pasar tani, pasar malam dan premis jualan ayam bagi membolehkan pengguna membuat pilihan berdasarkan sumber bekalan yang lebih jelas.

Beliau turut merujuk Seksyen 29(1) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan kuasa kepada Menteri untuk menetapkan keperluan maklumat tertentu berkaitan barangan melalui perintah.

Menurutnya, langkah tersebut juga boleh menggalakkan pembekal dan peniaga lebih berhati-hati dalam mendapatkan bekalan ayam.

Minta penguatkuasaan diselaraskan

Dalam masa sama, Radzi meminta kerajaan memperkukuh penyelarasan antara KPDN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pihak berkuasa agama negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.

Beliau berpandangan bahawa kerjasama antara agensi perlu diperkemas bagi memastikan pemantauan terhadap pusat penyembelihan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Katanya, isu berkenaan juga telah dibangkitkan ketika penggulungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum ini.

Menteri KPDN sambut baik cadangan

Dalam jawapannya, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali menyatakan sokongan terhadap cadangan Radzi dan menegaskan bahawa pendekatan business as usual tidak boleh diteruskan dalam menangani isu halal makanan.

Armizan memaklumkan bahawa kementeriannya bersedia meneliti pelaksanaan peraturan di bawah Akta Perihal Dagangan bagi membolehkan pengguna mengetahui sumber penyembelihan, status pensijilan halal dan pihak yang memperakukannya.

Beliau turut menyatakan keperluan mengadakan penyelarasan bersama pihak berkuasa agama negeri, PBT dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi meneliti pelaksanaan cadangan tersebut.

Susulan jawapan itu, Radzi meminta isu penyelarasan antara kementerian dan kerajaan negeri dibawa segera ke Jemaah Menteri, selain menggesa KPDN mengambil tindakan terhadap cadangan pelabelan berkenaan.

Cadangan tersebut bertujuan meningkatkan ketelusan rantaian bekalan ayam serta melindungi kepentingan pengguna, khususnya umat Islam.

Must Watch Video

Advertisement