KUALA LUMPUR: Kedutaan Rusia di Malaysia mencadangkan supaya jumlah biasiswa untuk pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di universiti Rusia ditingkatkan daripada 40 kepada 60 pada tahun depan, bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl M. Latypov berkata cadangan itu susulan minat tinggi dalam kalangan pelajar Malaysia, dengan ratusan permohonan diterima menerusi Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia di Kuala Lumpur sepanjang kempen biasiswa terbaharu.
“Disebabkan jumlah pemohon yang ramai, kami telah meminta kerajaan kami meningkatkan jumlah biasiswa daripada 40 kepada 60 pada tahun depan,” katanya dalam program Bernama World terbitan Bernama TV bertajuk “Russia-Malaysia Cooperation in Education And Medicine”.
Beliau berkata lebih separuh daripada pemohon memperoleh keputusan akademik yang sangat baik atau cemerlang, dengan bidang perubatan, minyak dan gas, matematik, ekonomi dan pengurusan, fizik, biologi, hubungan antarabangsa, seni bina serta reka bentuk antara bidang pengajian yang mendapat sambutan.
“Tahun depan, kita akan menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Oleh itu, bersempena ulang tahun ini, kita seharusnya meningkatkan jumlah biasiswa daripada 40 kepada 60,” katanya sambil berharap kerajaan Rusia akan meluluskan cadangan berkenaan.
Sementara itu, Latypov berkata kira-kira 7,000 rakyat Malaysia telah menamatkan pengajian di universiti perubatan Rusia dan kini menyumbang kepada sistem penjagaan kesihatan negara.
Bagaimanapun, beliau mengakui jumlah rakyat Malaysia yang mengikuti pengajian perubatan di Rusia menurun daripada kira-kira 600 orang sebelum ini kepada sekitar 400 orang ketika ini.
“Pada masa kini, golongan muda mempunyai banyak pilihan. Mereka boleh memilih bidang pengkhususan lain. Mereka berminat dalam teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI),” katanya sambil menambah bahawa sesetengah golongan muda mungkin juga keberatan memikul tanggungjawab besar yang berkaitan dengan profesion perubatan.
Selain pendidikan, beliau berkata Rusia berminat memperkukuh kerjasama penjagaan kesihatan dengan Malaysia menerusi pertukaran kepakaran, khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan primer, pembedahan, onkologi, hematologi dan kardiologi.
“Kami telah membentuk satu pasukan untuk bertukar pengalaman dan pengetahuan,” katanya sambil menambah bahawa Rusia bersedia berkongsi kepakarannya, di samping menimba ilmu daripada petugas perubatan, hospital dan saintis berpengalaman di Malaysia.
Latypov berkata kedua-dua negara berdepan cabaran penjagaan kesihatan yang hampir sama, termasuk kekurangan doktor di kawasan luar bandar, dan percaya bahawa perkongsian pengalaman dapat membantu mengenal pasti penyelesaian praktikal.
“Jika kita dapat berkongsi pengalaman, mungkin kita akan dapat mencari penyelesaian yang munasabah bagi menangani masalah ini di negara masing-masing,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan rakyat Malaysia dalam Knowledge Tournament anjuran Rusia, yang dijangka menawarkan 4,000 biasiswa kepada pelajar antarabangsa mulai tahun depan, sekali gus membuka peluang melanjutkan pengajian di Rusia tanpa yuran pengajian.
Selain pendidikan dan penjagaan kesihatan, beliau mengenal pasti peningkatan perdagangan dua hala, bekalan minyak dan gas, teknologi tinggi serta tenaga nuklear, khususnya reaktor terapung bersaiz kecil dan sederhana, sebagai bidang berpotensi untuk mempererat kerjasama.
-- BERNAMA