KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor menurun kepada 3,002 orang dan berlindung di 37 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 3,432 orang petang tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Terengganu masih merekodkan kadar mangsa tertinggi dengan 1,823 orang dan berlindung di 22 PPS di empat daerah.

Kesemua 22 PPS yang beroperasi itu termasuk lapan PPS di Besut yang menempatkan 458 mangsa, tujuh PPS di Dungun (1,017 mangsa), empat PPS di Setiu (87 mangsa) dan tiga PPS di Hulu Terengganu (261 mangsa).

Di Kelantan, sejumlah 11 PPS beroperasi di tiga daerah iaitu enam PPS di Tanah Merah yang menempatkan 325 mangsa, empat PPS di Kuala Krai (182 mangsa) dan sebuah PPS di Pasir Puteh (28 mangsa).

Bagi perkembangan situasi banjir di Pahang, sejumlah dua PPS beroperasi di dua daerah di negeri itu iaitu sebuah PPS di daerah Kuantan yang menempatkan 468 mangsa dan sebuah PPS di Rompin dengan sembilan mangsa.

Di Johor pula, dua PPS masih beroperasi iaitu sebuah di daerah Mersing dengan 167 mangsa dan sebuah lagi di Kota Tinggi namun tiada mangsa berlindung di PPS berkenaan sehingga 8 malam ini susulan banjir di daerah itu semakin pulih.

Tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, NADMA mendapati beberapa sungai berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.

Antara sungai terlibat ialah Sungai Johor di daerah Kota Tinggi, Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Golok di Pasir Mas (Kelantan), Sungai Rompin (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor) dan Sungai Dungun (Terengganu).

NADMA turut memaklumkan 38 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak serta jalan dan cerun runtuh antaranya di Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu; Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Pahang; dan Jalan Johor Bahru-Endau di Kota Tinggi, Johor.

-- BERNAMA