JOHOR BAHRU:Mangsa banjir di Johor terus mencatat peningkatan mendadak.

Setakat jam 8.30 pagi ini, 5,818 mangsa membabitkan 1,540 keluarga ditempatkan di 56 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah.

Ia berbanding hanya seramai 1,780 mangsa daripada 500 keluarga dengan 28 PPS dibuka di lima daerah, pada Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, tujuh daerah paling terjejas ialah Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Batu Pahat, Mersing dan Pontian.

Peningkatan berlaku di Kluang apabila mencatatkan peningkatan PPS kepada 19 berbanding hanya 12, sebelum ini.

Katanya, mangsa banjir di Kluang meningkat kepada 1,826 orang daripada 545 keluarga.

Di Kota Tinggi, terdapat 868 orang daripada 221 keluarga di 14 PPS.

Johor Bahru turut menyaksikan penambahan mangsa banjir dengan 2,452 orang daripada 593 keluarga di 13 PPS.

Banjir Johor: Mangsa banjir cecah 6,000 mangsa, 7 daerah terjejas

Selain itu, di Kulai, 581 mangsa dari 156 keluarga ditempatkan di lima PPS manakala di Batu Pahat pula, melibatkan 28 mangsa daripada 10 keluarga di dua PPS.

Hujan lebat tanpa henti sejak awal pagi Jumaat menyebabkan beberapa kawasan rendah ditenggelami air banjir berikutan sungai utama yang melimpah.