JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Johor terus berkurangan apabila seramai 1,129 orang membabitkan 320 keluarga ditempatkan di 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu menurun berbanding seramai 1,159 orang membabitkan 329 keluarga pada jam 8 malam tadi.

Katanya lima daerah masih terjejas banjir iaitu Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Batu Pahat dan Mersing.

"Kesemua daerah menunjukkan penutunan jumlah mangsa kecuali Mersing tidak berubah dengan jumlah 611 orang daripada 185 ditempatkan di empat PPS.

"Jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi berkurang daripada 254 orang membabitkan 64 di empat PPS yang masih beroperasi.

"Jumlah mangsa banjir di Kluang pula tinggal 153 orang daripada 41 keluarga yang semuanya hanya ditempatkan di dua PPS.

"Segamat pula berkurang kepada 88 orang daripada 25 keluarga di dua PPS dan Batu Pahat tinggal 23 orang daripada lima keluarga yang berada di satu PPS," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, Jalan Tanah Abang di Mersing serta dua kawasan di Lingkaran Kahang Barat dekat Kluang masih terjejas dengan banjir selepas dinaiki air dan masih ditutup bagi laluan semua jenis kenderaan.