IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak menunjukkan pengurangan dengan sebanyak 423 orang daripada 127 keluarga masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah pada Ahad, jumlah mangsa pada lewat malam tadi ialah 457 orang daripada 136 keluarga dan berkurang kepada 423 pada jam 8 pagi tadi.

Katanya, jumlah daerah yang terjejas masih kekal dua, iaitu Hilir Perak dan Kerian.

Beliau berkata, jumlah mangsa di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak sebanyak 169 orang daripada 52 keluarga.

Sementara itu, di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap dengan bilangan 70 orang daripada 24 keluarga, manakala di Dewan Serbaguna Chikus pula menempatkan 40 orang daripada 11 keluarga.

Dalam pada itu, di daerah Kerian pula, Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, terdapat 87 orang daripada 21 keluarga dan SK Alor Pongsu dengan 57 orang daripada 19 keluarga.