KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Pahang dan Johor kekal 980 orang di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 6 pagi ini.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sebanyak 923 mangsa daripada 275 keluarga di Terengganu masih ditempatkan di tujuh PPS di Dungun.

Di Johor dan Pahang, jumlah mangsa juga tidak berubah iaitu masing-masing 29 orang ditempatkan di sebuah PPS di Kota Tinggi dan 28 orang berada di dua PPS di Rompin.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya.

Antara sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor), Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Golok di Pasir Mas (Kelantan), Sungai Rompin dan Sungai Pahang (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor), Sungai Dungun dan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

NADMA turut memaklumkan 25 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh antaranya Jalan Raya Timur Barat Hulu Perak, Perak; Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat, Selangor; dan Jalan Durian Mentangau di Dungun, Terengganu. - BERNAMA