Mangsa banjir kongsi detik cemas berpaut pada ampaian untuk selamatkan diri

Mangsa banjir Suhaziman Mohd Suhaimi mengemas kawasan rumahnya yang terjejas akibat banjir di Taman Larah Damai hari ini. - Foto Bernama
TAIPING: Seorang mangsa banjir di sini berkongsi detik cemas apabila terpaksa berpaut pada ampaian baju di halaman rumah sambil meletakkan anak-anaknya di atas penutup tong ais bagi menyelamatkan diri dalam kejadian banjir kilat malam tadi.
Ringkasan AI
- Seorang mangsa banjir di Taman Larah Damai, Taiping terpaksa berpaut pada ampaian sambil meletakkan anak-anak di atas penutup tong ais untuk menyelamatkan diri selepas air naik paras leher dalam lima minit.
- Lebih 2,000 mangsa daripada 759 keluarga dipindahkan ke 22 PPS di Larut, Matang dan Selama (LMS) serta Manjung akibat hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir kilat.
- Mangsa melaporkan kerosakan teruk pada perabot, barangan elektrik dan kenderaan, dengan video detik cemas turut tular di media sosial.
Suhaziman sekeluarga yang kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Changkat Larah ditemui ketika pulang seketika bagi membersihkan kediamannya.
Beliau yang bekerja di Hospital Taiping berkata segala perabot, barangan elektrik serta dokumen peribadi termasuk kereta dan motosikal miliknya serta isteri tidak sempat diselamatkan.
Suhaziman bagaimanapun bersyukur kerana keluarganya selamat dan itu adalah kali pertama kediaman mereka dilanda banjir kilat selama tiga tahun tinggal di kawasan berkenaan.
Video situasi mendebarkan ketika beliau berpaut pada ampaian bersama anak-anaknya di halaman rumah itu turut tular di media sosial sejak malam tadi.
Taman Larah Damai merupakan antara kawasan terjejas dalam kejadian banjir yang melanda dua daerah di Perak iaitu di Larut, Matang dan Selama (LMS) dan Manjung sehingga memaksa lebih 2,000 mangsa berlindung di 22 PSS.
Seorang lagi mangsa banjir, Muaz Baharuddin, 30, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping berkata banjir kilat yang berlaku semalam disifatkan seperti kejadian kepala air.
"Ini kerana secara tiba-tiba rumah saya dimasuki air yang cukup deras dan parasnya terus meningkat dalam masa beberapa minit sahaja.
"Saya terpaksa keluar menyelamatkan diri ikut pintu dapur sebab pintu gelangsar depan sudah tidak boleh dibuka kerana air banjir mencecah paras leher," katanya sambil memaklumkan isteri dan anak perempuannya tiada di rumah ketika kejadian.
Muaz berkata beliau hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen peribadi dengan meletakkannya di tempat yang tinggi, namun kereta serta motosikal miliknya tidak sempat diselamatkan.
Sementara itu, Mohamad Hailzandan Zakaria, 49, berkata beliau bersama isteri tiada di rumah semasa kejadian itu yang memusnahkan hampir semua kelengkapan rumahnya.
"Perabot, barangan elektrik serta perkakas rumah banyak yang nak kena buang sebab rosak teruk. Dua buah motosikal saya juga rosak ditenggelami banjir," katanya yang sudah dua tahun tinggal di kawasan berkenaan.
Setakat 8 pagi tadi, sebanyak 2,171 penduduk daripada 759 keluarga dipindahkan ke 22 PPS di daerah LMS serta Manjung apabila hujan lebat sejak pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah berkenaan dinaiki air.
Antara kawasan terjejas di LMS ialah Kampung Sungai Baru, Kampung Salak Baru, Kampung Sungai Lubok, Kampung Masjid, Taman Kota Wira, Taman Kemunting Tiara, Taman Lara Aman, Taman Lara Damai dan Kampung Changkat Larah, Taman Kaya dan Taman Damai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


