Pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Pantai Remis telah ditutup pada jam 10 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD), Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi memastikan kelancaran pentadbiran dan keselesaan mangsa semasa berada di pusat pemindahan.

"Kerjasama dan keprihatinan anda disanjung tinggi dan semoga kerjasama ini dapat terus dikekalkan pada masa hadapan demi kemaslahatan rakyat di Daerah Manjung," ujar beliau dalam satu kenyataan.

Menurut Mohamad Fariz, 37 mangsa dari 10 keluarga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, bilangan mangsa banjir di dua PPS di daerah Taiping dan Kerian masih dibuka.

Jumlah mangsa di PPS Sekolah Temerlok, Kampung Temerlok, Trong masih sama dengan 35 orang dari sembilan buah keluarga. PPS di SK Changkat Lobak juga kekal dengan 52 orang mangsa dari 12 keluarga.

Ketika dihubungi, seorang jurucakap Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, JPBN masih berada di dalam keadaan berjaga-jaga di dua pusat pemindahan tersebut kerana ada kemungkinan banjir berlaku semula di lokasi tersebut.