Dua daripada tiga pesakit yang dimasukkan ke dalam hospital berikutan kes keracunan makanan di Siputeh dekat Batu Gajah Jumaat lalu masih diletakkan di bawah wad Unit Penjagaan Rapi ( ICU) hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata seorang lagi telah dipindahkan ke wad biasa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

"Kedua- dua yang diletakkan di unit penjagaan rapi masing-masing diletakkan di hospital HRPB dan KPJ Specialist Ipoh.

"Keadaan mereka telah bertambah baik dan kami masih memantau secara terperinci kondisi mereka dari masa ke masa,"katanya ketika dihubungi ASTRO AWANI pada malam Khamis.

Salah seorang daripada pesakit tidak lagi bergantung pada mesin inkubator dan kondisi kesihatannya dilihat semakin stabil.

Sementara itu, pihak polis telah memanggil kesemua pemilik dan pengusaha kedai makanan bagi soal siasat bagi mengenal pasti sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, ACP Goh Kok Liang berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terperinci berkenaan sebarang kegiatan jenayah yang berkaitan dengan kes keracunan makanan itu.

"Kita telah buka kertas siasatan dan sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah maka kita akan mengambil tindakan sewajarnya.

Berdasarkan hasil soal siasat terhadap pemilik kedai makanan tiada sebarang pertelingkahan perniagaan yang boleh membawa kepada kemungkinan kes keracunan tersebut" ujarnya.

Polis akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengenalpasti seterusnya menyiasat lanjut perkara tersebut.

BACA: Racun serangga punca keracunan makanan di Batu Gajah - Mah

BACA: Kuih di gerai Siputeh, Batu Gajah terdedah kepada racun

BACA: KKM syaki bahan kimia organophosphorus punca kes keracunan di Batu Gajah