Manifesto untuk wanita yang diumumkan Barisan Nasional (BN) bukanlah auta, sebaliknya ia merupakan fakta.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan, manifesto tersebut adalah lebih baik berbanding manifesto untuk wanita yang diperjuangkan pembangkang.

"Kalau kita bandingkan manifesto untuk wanita Barisan Nasional dan sebelah sana (parti pembangkang) kita punya tidak auta. Kita punya fakta, bukan auta," katanya dalam sidang media di Menara Dato Onn, PWTC di ibu negara, hari ini.

Jelasnya, manifesto berkenaan adalah hasil kajian mendalam yang dibuat dalam tempoh beberapa bulan.

BACA: BN bentang manifesto sebagai bekalan hadapi PRU14

"Dalam nak menentukan manifesto ini, memang kita banyak mesyuarat. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dengan kumpulan terlibat mengkaji sama ada boleh atau tidak manifesto ini dilaksanakan.

"(Ini) bukan manifesto hentam kromo, (atau) hanya gula-gula sahaja iaitu hendak sedapkan halwa telinga," ujarnya.

Tambahnya, manifesto BN akan dapat dilaksanakan apabila parti itu menang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Katanya lagi, manifesto pembangkang pula banyak berkisar kepada janji-janji kosong dan meniru inisiatif dilakukan BN.