IPOH: Perak mempunyai beberapa kawasan pentadbiran yang berpotensi besar untuk mencapai status bandar raya seperti mana Ipoh, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Bagaimanapun Saarani berkata, permohonan untuk status bandar raya itu perlu menepati kriteria dan syarat yang ditetapkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Mengambil contoh Manjung dan Muallim, beliau berkata kedua-dua kawasan tersebut sememangnya mempunyai potensi untuk mencapai status bandar raya.

"Pengiktirafan sebagai bandar raya ada kriteria seperti bilangan penduduk, Manjung memang sudah ada usaha ke arah itu (capai status).

"Sudah tentu bila dapat pengiktirafan sebagai bandar raya, banyak kemudahan akan masuk.

"Selain Manjung, kita lihat pula contoh di selatan iaitu Muallim di bawah Majlis Daerah Tanjung Malim, sekarang mungkin kawasan itu dilihat tidak berapa maju kerana bilangan penduduk rendah.

"Tetapi dengan kehadiran keluarga pekerja yang akan berpindah dari Shah Alam ke Proton City, menjelang tahun 2027 lebih ramai pekerja akan berpindah ke sini dan bawa pasangan, sudah tentu bilangan penduduk melimpah ramai.

"Dengan itu, kemudahan sekolah, hospital dan sebagainya akan banyak, itu akan menggamit penubuhan bandar raya baharu," katanya.

Dalam pada itu, Saarani berkata dengan kemasukan pelabur dan pertambahan pusat industri, tidak mustahil akan lebih banyak kawasan di Perak mencapai status bandar raya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media sebagai mengulas laporan bahawa Manjung berhasrat dan sudah bersedia untuk mencapai status bandar raya, sekali gus menjadi bandar raya kedua di Perak selepas Ipoh.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, pemakluman mengenai hasrat itu sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri pada akhir tahun lalu.

Menurutnya, Johor dan Selangor antara negeri yang aktif dalam menjadikan beberapa kawasan pentadbiran mencapai status bandar raya manakala Pahang pula mengumumkan sasaran menjadikan Bentong bandar raya kedua selepas Kuantan.

Terdahulu, Saarani ditemui selepas melancarkan Program Pelestarian Bangunan Perak Techno Trade Centre (PTTC) Dengan Penggunaan Smart Solar Streetlighting & Rooftop Solar Panel di Meru Raya, di sini malam tadi.