KUALA LUMPUR: Pemansuhan undang-undang yang menindas hak asasi manusia perlu menjadi keutamaan kerajaan kerana langkah tersebut dilihat sejajar dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, selain mekanisme yang teguh bagi melindungi pejuang hak asasi kemanusiaan perlu segera dibentuk untuk memastikan keselamatan dan autonomi mereka.

Pengasas dan Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin berkata, pertubuhan masyarakat sivil tempatan dan luar negara perlu memainkan peranan masing-masing mendesak kerajaan dalam perjuangan menuntut perubahan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melibatkan diri secara konstruktif dengan organisasi ini dan membuang kebimbangan mereka bagi mencapai perbincangan yang bermakna.

"Hakisan ruang sivik di Malaysia seperti yang dilaporkan dan tindakan keras yang diambil terhadap kebebasan asasi menuntut tindakan segera daripada kerajaan,” kata Azril dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Azril mengulas laporan CIVICUS Monitor, sebuah pakatan global yang berusaha ke arah memperkukuh masyarakat sivil dan kebebasan sivik di seluruh dunia, baru-baru ini yang melaporkan bahawa ruang sivik Malaysia semakin "terhalang" dan kerajaan terus gagal dalam memberi perlindungan hak asasi manusia di negara sendiri.

CIVICUS Monitor juga menyatakan bahawa pelbagai undang-undang yang menindas di Malaysia, terutamanya Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan, adalah menjijikkan manakala laman web dan blog berita kritikal terhadap kerajaan telah disekat oleh pihak berkuasa.

Kegagalan menangani pelanggaran terhadap hak asasi manusia ini bukan sahaja akan menjejaskan tahap demokrasi di Malaysia, malah turut mengancam hak dan maruah setiap rakyat negara ini, tambah beliau.

“Sudah tiba masanya untuk kerajaan memperbaharui komitmennya terhadap hak asasi manusia dan memulakan jalan ke arah reformasi dan akauntabiliti tulen, seperti yang dilaungkan selama ini” katanya.

“Walaupun Malaysia merupakan ahli dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang keahliannya akan berakhir tahun ini, negara ini terus bergelut dengan pencabulan kebebasan awam yang serius dan ini menimbulkan kebimbangan pihak pemerhati dan aktivis global.”

Azril menambah, laman web dan blog berita kritikal secara rutin telah disekat dan penunjuk perasaan aman menghadapi gangguan dan tahanan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang dijalankan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Januari 2024 dengan jelas mendedahkan bukti pencabulan besar yang melanda landskap hak asasi manusia Malaysia.

"Semasa penilaian komprehensif ini dijalankan, sejumlah 348 syor telah dikeluarkan, menekankan keperluan mendesak ke arah pembaharuan substantif bagi melindungi ruang sivik dan menegakkan kebebasan asasi di Malaysia,” kata beliau lagi.

Antara saranan ini termasuklah gesaan agar Malaysia meratifikasi Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) sebagai satu langkah penting ke arah menyelaraskan rangka kerja perundangan negara dengan piawaian hak asasi manusia yang diiktiraf secara universal di peringkat global.

Ratifikasi ICCPR menandakan komitmen Malaysia untuk memastikan perlindungan kebebasan awam dan prinsip demokrasi di peringkat global, kata Azril.

Mekanisme UPR menekankan pentingnya untuk menyemak atau memansuhkan undang-undang yang terlalu menyekat kebebasan bersuara dan hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

Akta Hasutan terkenal sejak dahulu dalam menyekat perbezaan ideologi politik dan menghapuskan kritikan terhadap kerajaan. Peruntukannya yang luas dan kabur telah digunakan untuk menjenayahkan pelbagai aktiviti aman dan ini menjejaskan intipati kebebasan bersuara.

“Begitu juga dengan Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) yang telah digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat dalam talian dan mengganggu pejuang hak asasi manusia. Seksyen 233 CMA, khususnya, telah digunakan untuk menghukum individu yang lantang bersuara dalam menyatakan pandangan berbeza, sekali gus ini melanggar hak asasi kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam instrumen hak asasi manusia antarabangsa,” ujar Azril.

Azril berkata, gangguan dan penganiayaan yang dibuat terhadap individu yang disebabkan pandangan kritikal mereka melalui hantaran video atas talian serta kenyataan awam masing-masing hanya akan membangkitkan sentimen ketakutan dan kegusaran dalam kalangan rakyat, sekali gus menjejaskan semangat toleransi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat demokratik dan pelbagai kaum di Malaysia.

“Oleh itu, adalah mustahak bagi kerajaan untuk menyahut seruan untuk melaksanakan pembaharuan dan menjalankan fungsi dan tanggungjawab antarabangsanya.

"Pihak berkuasa perlu segera menghentikan sebarang bentuk gangguan dan ugutan terhadap para aktivis, wartawan dan individu lain yang lantang bersuara mengenai hak-hak kemanusiaan untuk membantu mewujudkan persekitaran yang membolehkan penglibatan sivik dan kebebasan bersuara yang sihat di Malaysia,” tegasnya lagi.