KUALA NERUS: Manuskrip al-Quran Terengganu yang diinovasikan ke bentuk teknologi realiti terimbuh (AR) kini boleh didapati di Pusat Pengalaman Canggih Portal My5G di Tun Razak Exchange (TRX).

Inisiatif itu hasil usahasama antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Digital Nasional Berhad (DNB) dan Ericsson, sebuah syarikat telco gergasi dari Sweden.

Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata inisiatif berkenaan diambil bagi memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai keindahan manuskrip al-Quran Terengganu dalam versi AR.

Beliau berkata manuskrip itu diakui paling indah di Asia Tenggara kerana warna yang kekal indah serta penggunaan emas pada iluminasi dan kaligrafi tekal.

"Manuskrip asal al-Quran tersimpan rapi di muzium. Pengunjung tidak dibenarkan menyentuh artifak berharga itu kerana dibimbangi akan merosakkannya.

"Oleh itu, UMT mengambil inisiatif membangunkan versi digital manuskrip menggunakan teknologi AR. Melalui realiti tambahan, orang ramai boleh merasai pengalaman mendalam keindahan setiap elemen kaligrafi, warna semula jadi dan juga tekstur halus lapisan penutup kapas manuskrip al-Quran seolah-olah memegangnya di tangan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Selain itu, Mazlan berkata langkah UMT meletakkan manuskrip al-Quran Terengganu versi AR di Portal My5G bertujuan menyokong usaha negara mendapatkan pengiktirafan memori dunia daripada UNESCO.

Beliau berkata UMT telah merangka pelbagai inisiatif dalam bidang pendidikan, pemuliharaan dan pendigitalan untuk mempromosikan manuskrip al-Quran Terengganu ke peringkat global.

"Saya turut mengalu-alukan agensi lain turut serta sebagai rakan usaha sama dan mereka akan dimasukkan dalam laporan pemeliharaan warisan UNESCO sekiranya impian ini menjadi realiti," katanya.-- BERNAMA