awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Kerajaan mahu setiap kampung dibangunkan ke tahap terbaik
Cubaan seludup mata wang asing RM2.4 juta dalam bungkusan pakaian baharu gagal
Angkasawan NASA dibenar bawa telefon pintar terkini dalam misi ke bulan

'Rembo Melaka' mohon maaf, kes saman fitnah Mohd Na'im selesai

Bernama
Bernama
07/02/2026
03:45 MYT
'Rembo Melaka' mohon maaf, kes saman fitnah Mohd Na'im selesai
Mohd Na'im memfailkan saman itu pada 23 Dis 2025 berhubung kenyataan didakwa berbaur fitnah yang diterbitkan dalam Facebook milik Ramzi selaku defendan. - Foto fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Kes saman fitnah difailkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar terhadap seorang pempengaruh Ramzi Kamil diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, pada Khamis.
Mohd Na'im memfailkan saman itu pada 23 Dis 2025 berhubung kenyataan didakwa berbaur fitnah yang diterbitkan dalam Facebook milik Ramzi selaku defendan bertarikh 23 dan 25 Nov 2025, berkaitan pengambilan suntikan vaksin kepada jemaah haji dan umrah.
Berdasarkan penghakiman persetujuan diperoleh media hari ini yang direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Helmi Hamzah pada prosiding dalam kamar, kedua-dua plaintif dan defendan telah mencapai penyelesaian baik dan berdamai di luar mahkamah.
Menurut penghakiman persetujuan itu, defendan menzahirkan rasa kesal serta memohon maaf atas penggunaan ayat dan ungkapan fitnah yang tidak wajar sehingga memberikan kesan buruk kepada Mohd Na'im selaku plaintif.
Susulan itu, defendan bersetuju dan beraku janji tidak akan mengeluarkan hantaran seumpama itu pada masa akan datang.
Mahkamah turut mengeluarkan injunksi mandatori, antara lain supaya defendan memadamkan dua hantaran yang mempunyai kenyataan fitnah daripada akaun Facebooknya 'Rembo Melaka' dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman, selain defendan, ejen atau mana-mana pihak berkaitan dihalang menerbitkan, menyiarkan, berkongsi atau mengulangi kenyataan berkenaan dalam apa bentuk sekalipun.
Defendan juga berjanji meletakkan satu penafian jelas pada akaun media sosial miliknya bahawa dia tidak mengizinkan, menyokong dan bertanggungjawab terhadap sebarang tindakan pihak ketiga yang menerbitkan semula kenyataan didakwa berunsur fitnah, tanpa kebenarannya.
"Suatu teks permohonan maaf awam defendan yang lengkap dan jelas serta tanpa syarat yang disediakan plaintif perlu dimuat naik oleh defendan pada platform media sosial miliknya dalam tempoh 24 jam daripada tarikh penghakiman persetujuan direkodkan, selain perlu dihebahkan selama 30 hari," menurut dokumen penghakiman.
Selain itu, defendan dikehendaki membayar kos penyelesaian kepada plaintif sebanyak RM5,000 dalam tempoh tujuh hari selepas penghakiman persetujuan direkodkan.
Plaintif diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, Muhammad Aslam Akberdin dan Ahmad Redza Akberdin, manakala defendan diwakili peguam Nur Fazrin Ahmad.
Mohd Na'im memfailkan saman terhadap Ramzi, antara lain mendakwa defendan yang merupakan penjual produk detox menggambarkan seolah-olah plaintif memaksa jemaah haji mengambil vaksin dan tindakan berkenaan menunjukkan bekas menteri agama itu tidak layak memegang jawatan berkaitan hal ehwal agama.
Beliau juga mendakwa defendan menyampaikan imputasi bahawa plaintif tidak memberikan pilihan kepada jemaah, sehingga jemaah terpaksa menolak peluang haji dan umrah kerana tidak mahu menerima suntikan vaksin, demi menjaga tubuh daripada perkara yang dianggap haram.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Mohd Na'im Mokhtar
#saman fitnah
#Ramzi
#Rembo Melaka
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.