Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan bekerjasama dengan beberapa pihak di Turki bagi membina 100 rumah di Syria untuk pelarian di negara bergolak itu.

Untuk itu, Mapim telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan agensi wakaf kerajaan Turki, Turkiye Diyanet Foundation (TDV) untuk projek Perkampungan Wakaf Mapim Malaysia di A'zaz, Syria itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata kerjasama dimeterai bermula tahun ini sehingga 2021 itu bakal memanfaatkan lebih 3,000 pelarian Syria, yang mana ia adalah projek berkonsepkan wakaf yang disumbangkan rakyat Malaysia.

"Mapim telah banyak menjalankan projek misi kemanusiaan bersama TDV sejak tujuh tahun dahulu, dan hubungan ini bakal diperkukuh dengan MoU ini yang bakal menyaksikan pembinaan Perkampungan Wakaf Mapim Malaysia di A'zaz, Syria dalam masa beberapa hari lagi.

"Antara lain yang kita turut persetujui melalui MoU ini ialah membaik pulih beberapa buah masjid di kawasan sekitar A'zaz untuk dijadikan madrasah, serta membina sebuah sekolah untuk anak-anak pelarian Syria dengan bantuan daripada Kementerian Pendidikan Turki, dan juga beberapa NGO pendidikan Turki," katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani MoU itu di Ibu Pejabat TDV di sini pada Khamis.

Beliau berkata RM3 juta diperuntukkan bagi projek pembinaan 100 rumah batu dengan tiga bilik itu hasil sumbangan RM2,500 untuk satu bahagian penderma, yang mana ia adalah rentetan dari projek Wakaf Myhome for Syrian Family yang digerakkan Mapim bermula tahun lepas.

Ahmad Sani turut menyeru rakyat Malaysia yang ingin membantu meringankan beban lebih enam juta pelarian Syria yang terkandas di negara itu untuk menghulurkan sumbangan berupa wang ringgit ke tabung Misi Kemanusiaan Syria di www.tabungsyria.com atau Maybank 5628-3463-6987 (Syria Emergency Appeal).

Dalam pada itu, Ketua Pengarah TDV Mehmet Savas Polat berkata pihaknya menjadikan Mapim sebagai rakan strategik, kerana yakin dengan kemampuan sistem pengurusan bagi menjalankan projek Perkampungan Wakaf Mapim Malaysia itu.

"Tujuh tahun bekerjasama dengan Mapim amat meyakinkan kami dengan kemampuan tadbir urus NGO daripada Malaysia itu bagi projek ini. TDV mengucapkan jutaan terima kasih buat rakyat Malaysia yang telah menyumbang dari segi wakaf untuk kedua-dua pihak menggerakkan pembinaan perkampungan Malaysia yang pertama untuk pelarian Syria di A'zaz tidak lama lagi," katanya.

-- BERNAMA